arena

Andre mahu lakar sejarah

Oleh Aida Adilah Mat

PEMEGANG rekod kebangsaan acara lompat jauh, Andre Anura Anuar nekad menjadi atlet pertama dalam acara itu untuk layak secara merit ke temasya Olimpik Tokyo tahun depan.

Dia bagaimanapun perlu melakukan lompatan sejauh 8.22 meter (m), 0.20m lebih lagi daripada rekod peribadi terbaiknya iaitu 8.02m jika ingin layak secara merit.

Namun itu bukan satu perkara mustahil jika diiringi dengan usaha dan diberi lebih banyak peluang menyertai pertandingan di luar negara yang menawarkan mata lebih tinggi buat atlet negara beraksi.

Justeru atlet muda kelahiran Sabah itu berharap, Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus menyokong dan memberi peluang buat atlet olahraga negara menyertai lebih banyak pertandingan apabila pertandingan luar mula diadakan tahun depan.

"Ketika ini tiada sebarang maklumat berhubung dengan pertandingan antarabangsa.

"Cuma kami dimaklumkan ada satu kejohanan tempatan akan dibuat pada bulan Disember ini iaitu Terbuka Innotex, kejohanan pertama yang dijangka akan diadakan tahun ini," katanya.

Andre antara enam atlet yang katakan mempunyai peluang untuk beraksi di Sukan Olimpik selain daripada Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh (lompat tinggi), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Haiqal Hanafi (100m).

Mengulas mengenai program latihannya, Andre, 21, yang kini berlatih di bawah bimbingan Ahmad Firdaus Salim berkata, fasa latihan ketika ini adalah lebih menjurus kepada kekuatan fizikal dengan memberi penekanan kepada latihan kardio.

Dia dijangka akan memasuki program latihan yang sebenar dan akan kembali ke trek latihan seperti biasa awal bulan depan.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 6:54pm
d