arena

TSC mungkin tamat musim lebih awal

Oleh Aida Adilah Mat

PASUKAN benua negara, Team Sapura Cycling (TSC) merancang menamatkan musim ini lebih awal jika kalendar tahun ini masih lagi samar.

Biarpun Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) sudah membenarkan perlumbaan berlangsung di Eropah bermula Julai ini, namun masih belum ada perkhabaran berhubung siri perlumbaan di sekitar Asia.

Pengurus Pasukan (TSC) Sayuti Zahit berkata, beliau ketika ini hanya boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Perlumbaan di Eropah sudah boleh diadakan pada Julai ini tapi kebanyakan perlumbaan di Asia seperti di China dan Indonesia sudah ditunda ke tahun depan.

"Kebiasaannya pada bulan Ogos dan September kebanyakan perlumbaan akan dilangsungkan di Indonesia dan China dan kini dimaklumkan semula perlumbaan di Indonesia sudah dibatalkan dan perlumbaan di China ditunda ke tahun depan.

"Jadi saya tidak melihat keadaan semakin baik dan apa yang boleh dilakukan ketika ini adalah hanya boleh bersedia," katanya.

Justeru sekiranya senario penularan Covid-19 masih tidak menampakkan pemulihan, TSC yang kini menduduki ranking pertama Asia mungkin akan mengambil pendekatan menukar segala program mereka tahun ini bagi membolehkan pelumba dapat bersedia tahun depan.

"Perkara ini sudah dimaklumkan kepada penaja. Jika masih belum ada penganjuran perlumbaan pada September dan Oktober, saya rasa adalah lebih baik 'off season' lebih awal daripada apa yang dirancangkan," katanya.

TCS melakarkan kejayaan bermakna tahun ini dengan menjadi pasukan tempatan pertama menjuarai siri jelajah Le Tour de Langkawi sebelum mereka terpaksa berehat Mac lalu kerana Covid-19.

Paling membanggakan selain berjaya muncul juara keseluruhannya di LTdL dengan pelumbanya, Danilo Celano menyarung jersi kuning, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff turut berjaya menyarung jersi merah (raja bukit).

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 8:59pm
d