arena

PKBM boleh 'tutup kedai'

Oleh Aida Adilah Mat

JIKA kerajaan masih tidak lagi membenarkan pertandingan diadakan khasnya membabitkan sukan berbasikal, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menegaskan bahawa mereka mungkin akan 'tutup kedai.'

Presidennya Datuk Abu Samah Wahab berkata, ketika ini kantung kewangan PKBM cukup nazak selepas penganjuran pertandingan yang selama ini menjadi nadi utama sumber kewangan badan induk itu tidak dapat dianjurkan kesan daripada penularan Covid-19 sehingga memaksa beberapa perlumbaan terpaksa dibatalkan.

Abu Samah ketika ditemui pada Majlis Pelancaran MNCF Virtul Ride di Velodrom Nasional berkata, PKBM ketika ini hampir muflis yang mana tiga kejohanan utama iaitu Tour de Peninsular, Tour de Femina, Jelajah Malaysia dan terbaru Kejohanan Berbasikal Kebangsaan terpaksa dibatalkan.

"Terus terang saya cakap sekarang PKBM hampir muflis. Ada tiga jelajah yang tidak boleh dianjurkan menyebabkan PKBM kehilangan sumber pendapatan utama kerana selama ini memang kita bergantung kepada penganjuran.

"Kita sepatutnya menganjurkan ACC (Kejohanan Berbasikal Asia) tahun ini tapi ia juga terpaksa ditunda dan sekiranya kerajaan masih tidak lagi membenarkan kemasukan pelumba luar ke sini dan kalau semua tak boleh anjurkan memang PKBM boleh tutup kedai," katanya.

Mengikut kalendar penganjuran ACC sepatutnya berlangsung dari 7 hingga 21 Mac lalu namun terpaksa ditunda berikutan penularan pendamik Covid-19.

Justeru itu Abu Samah menegaskan bawah beliau kini sedang berusaha untuk membawa perlumbaan ACC ke tahun depan kerana hingga kini masih belum ada sebarang kata putus berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dipanjangkan atau ditamatkan.

Biarpun mengetahui kesukaran untuk berbuat demikian ketika Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) bakal menukar presiden yang berkemungkinan besar dari negara Timur Tengah, Abu Samah berkata, beliau tetap akan berusaha untuk memastikan Malaysia menjadi tuan rumah tahun depan jika tidak dapat dianjurkan tahun depan mungkin 2021.

Terdahulu Abu Samah mengucapkan terima kasih kepada barisan anak muda dari Alpha Performance yang tampil dengan idea penganjuran MCNF Virtual Ride.

Justeru beliau mengalu-alukan peminat sukan berbasikal negara untuk menyertainya. Ia adalah pertandingan yang julung kali dianjurkan bagi menyahut cabaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menyarankan untuk mengadakan pertandingan mengikut norma baru.

Bagi yang berminat menyertai perlumbaan yang menawarkan hadiah pakej umrah kepada pemenang, bolehlah melayari laman web MNCF.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 20, 2020 @ 8:37pm
    d