arena

Bruce Lee miliki aura juara tinju - Foreman

Oleh Agensi

BRUCE Lee memiliki karakter untuk menjadi juara tinju dunia, menurut salah seorang legenda sukan itu, George Foreman.

Sebuah buku baru mengisahkan kehidupan jagoan seni mempertahankan diri, 'Bruce Lee: The Life of a Legend', dilancarkan semalam iaitu pada hari ulang tahun kematiannya.

Lee yang mati pada 1973 selepas mengalami kecederaan otak berusia 80 tahun jika masih hidup.

Foreman berkata, apa yang dilakukan Lee dalam filemnya membuatkan dia kagum dan teruja dengan kemampuan jaguh seni pertahankan diri itu.

Legenda tinju berusia 71 tahun itu mendakwa Lee sepatutnya boleh mencipta kejayaan lebih besar dalam sukan yang dia sendiri menjadi terkenal.

Foreman berkata: "Bruce Lee seorang atlet yang bagus dan dia boleh menjadi petinju yang hebat. Dia boleh menjadi apa sahaja. Dalam kategori beratnya dia boleh menjadi juara tinju.

"Saya masih ingat ketika di Hawaii pada 1973 dan saya menonton filem Enter the Dragon. Selepas tamat filem itu, saya rasa kagum. Saya juara heavyweight dunia tapi apa yang saya fikir ketika itu ialah wow!

"Saya terkejut. Dia membuatkan semua penonton terpaku. Bruce Lee mengubah segalanya."

Foreman percaya Lee akan terus 'hidup' untuk sekurang-kurangnya 50 tahun lagi berdasarkan minat masyarakat terhadap filem-filem aksinya.

Dunia menyanjunginya sebagai perintis jalan kepada apa yang dikenali MMA hari ni menerusi seni Jeet Kune Do - seni mempertahankan diri yang menggabungkan usaha minimum tetapi dengan kesan maksimum dan kepantasan ekstrem.

Foreman bersara ketika berusia 48 tahun pada 1997 dan muncul juara heavyweight dua kali dengan rekod 76 kemenangan dan lima kekalahan.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 1:54pm
d