arena

Perlu masa gilap pelumba F1 negara

Oleh Saiful Affendy Sapran

BEKAS pemandu Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong mengakui Malaysia memerlukan masa untuk melihat anak tempatan memandu jentera perlumbaan berprestij itu sejak kali terakhir dia melakukannya pada 2002.

Namun Alex berasakan tempoh untuk menghasilkan pemandu F1 mungkin boleh dipercepatkan antara 10 hingga 15 tahun sekiranya program pembangunan pelumba berjalan dengan lancar.

Malah Alex tidak menafikan perkembangan semasa terutamanya penggunaan permainan simulasi yang hampir sama dengan jentera sebenar, mampu mempercepatkan proses pembangunan pemandu berbakat.

"Kadangkala prestasi yang dicatatkan pemandu simulasi menghampiri perlumbaan sebenar. Malah sekarang banyak kejohanan berbentuk simulasi dianjurkan di seluruh dunia. Saya sendiri mempunyai beberapa atlet yang beraksi dengan baik menerusi permainan simulator.

"Dalam soal program pembangunan pemandu, saya akui ia memerlukan masa untuk melihat hasilnya. Banyak pengorbanan perlu dilakukan termasuklah menghantar kanak-kanak beraksi di Eropah pada usia cukup muda.

"Dalam soal ini pula memerlukan kerjasama daripada ibu dan bapa," katanya ketika dihubungi. Alex berkata, Malaysia sebenarnya tidak pernah ketandusan bakat tetapi beberapa perkara seperti program pembangunan perlu diperkasa serta perlu mendapat sokongan kewangan yang kukuh.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif menerusi laporan Arena Metro yang berkata, Malaysia memerlukan tempoh antara 15 hingga 20 tahun lagi untuk melihat pemandu tempatan beraksi bersama jentera F1.

Azhan yang lebih senang disapa Shaf berkata, Malaysia tidak boleh terburu-buru untuk meletakkan anak tempatan beraksi di F1 kerana proses pembangunan satu-satu pelumba itu cukup penting.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 2:46pm
d