arena

BAM lantik Gambardella CEO ABM

Oleh Saiful Affendy Sapran

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengorak selangkah lagi apabila mengumumkan pelantikan Robert Gambardella selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan Gambardella adalah berdasarkan pengetahuannya dalam industri sukan serta pengalaman luas selama tujuh tahun sebagai Ketua Institut Sukan Singapura dari 2009 sehingga 2016.

Jelas Norza, Gambardella yang berasal dari Amerika Syarikat, ditawarkan kontrak selama dua tahun dan bakal memulakan tugasnya 1 Ogos ini.

"Robert adalah calon paling terbaik dalam bidang ini. Dengan kemahiran selaku seorang ketua serta pengetahuannya mengenai badminton, kami percaya memperoleh individu yang tepat untuk mengetuai ABM.

"Beliau juga akan ditugaskan untuk menguruskan mini ISN (Institut Sukan Negara) di ABM yang dijangka akan bermula pertengahan Ogos depan untuk kemudahan skuad senior dan remaja.

"Sebelum ini kita sudah ada ketua di semua struktur dan kehadiran Gambardella adalah pelengkap kepada struktur ABM," kata Norza pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM, hari ini.

Jelas Norza, Gambardella hadir dengan pakej yang berpatutan ketika semua industri termasuk sukan sedang berdepan kesulitan berikutan pandemik Covid-19.

"Dia memahami situasi itu dan atas sebab itulah pakej yang ditawarkan kepadanya amat berpatutan. Saya tidak katakan amat murah, tetapi jika melihat kepada situasi semasa, ia agak berpatutan," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 4:58pm
d