arena

FAM kembali urus Liga M3

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) kembali menguruskan saingan Divisyen 3 Liga Malaysia (Liga M) selepas ia mencapai persetujuan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-11 bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, di Kelana Jaya.

Liga M3 atau dahulu dikenali Piala FAM sebelum ini dikendalikan sendiri oleh badan induk itu dari 1951-2018 yang kemudiannya diserahkan kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL) tahun lalu.

Namun pelbagai isu timbul sejak AFL mengendalikan saingan itu di mana masalah kewangan jelas menghantui kebanyakan pasukan yang bergerak secara amatur dalam saingan itu.

Lantas, bagi menyelamatkan kejohanan itu yang juga pintu buat pasukan-pasukan untuk beraksi ke Liga Perdana dan seterusnya Liga Super, FAM terpaksa mengendalikan semula dengan beberapa pertukaran syarat dijangka berlaku.

"Disahkan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyerahkan AFL iaitu badan pengendali Liga M3 dan M4 kepada FAM," kata kenyataan media FAM sejurus tamat mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Selain itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM turut menetapkan tarikh 29 Ogos ini sebagai tarikh bagi Kongres Tahunan Kali Ke-56 FAM yang akan diadakan di Hilton Petaling Jaya bermula jam 10 pagi.

Turut diluluskan ialah pelantikan empat ahli Jawatankuasa Pemilihan FAM bagi mengendalikan pemilihan pucuk pimpinan baharu pada tahun depan.

"Diluluskan pelantikan seorang pengerusi dan tiga pegawai berkecuali menganggotai jawatankuasa bebas ini yang dibentuk bagi memastikan proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2021-2025 pada Kongres FAM 2021 dijalankan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak di dalam industri atau keluarga bola sepak Malaysia.

"Jawatankuasa Pemilihan ini dibentuk dalam usaha FAM bagi memastikan sistem pemilihan FAM adalah selaras dengan amalan (tadbir urus yang baik dan transparensi) yang diguna pakai oleh AFC dan FIFA".

Dalam mesyuarat sama, pindaan statut ahli gabungan FAM turut diluluskan di mana ia membabitkan penyelarasan dengan apa yang wujud dalam Statut FAM supaya ia selari dengan AFC dan FIFA terutama berhubung pemisahan di antara Persatuan Bolasepak (FA) dan Kelab Bolasepak (FC).

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 6:47pm
d