arena

Terbuka Malaysia dianjurkan jika ada dana BWF

Oleh Saiful Affendy Sapran

KEJOHANAN Terbuka Malaysia hanya akan dianjurkan sekiranya menerima suntikan dana daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata demikian selepas mengambil kira impak penganjuran kejohanan itu yang merugikan badan induk berkenaan sekiranya dianjurkan tanpa kehadiran penonton.

Jelas Norza, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh untuk berjumpa BWF bagi membincangkan perkara itu sebelum memutuskan sama ada ia akan terus dianjurkan atau sebaliknya.

"Buat masa sekarang hampir pasti ia tidak akan dianjurkan kerana kos yang sangat tinggi. Seandainya BWF menjadi penaja, kita akan teruskan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM, hari ini.

Selain ketiadaan penonton, kejohanan yang difahamkan kosnya mencecah RM4 juta itu juga berisiko untuk menyaksikan ketiadaan beberapa pemain ternama dunia kerana pandemik Covid-19.

Terbuka Malaysia sepatutnya berlangsung dari 31 Mac sehingga 5 April lalu namun ditangguhkan kepada 24 hingga 29 November depan berikutan wabak Covid-19.

Sementara itu, Norza berkata, BAM akan mengadakan kejohanan secara tertutup membabitkan kesemua pemain yang dijadual berlangsung pertengahan Ogos ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 7:17pm
    d