arena

Megat Zulkarnain calon Presiden Pesaka

Oleh Aida Adilah Mat

TIADA perebutan kerusi bagi jawatan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan jawatan Naib Presiden akan dipertandingkan pada mesyuarat agung badan induk itu September ini.

Ia susulan persetujuan sebulat suara oleh semua ahli majlis yang memilih Setiausaha Agung, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memegang jawatan itu.

Megat yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengikuti jejak Presiden Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu bagaimanapun menarik kembali keputusan selepas dipujuk untuk berbuat demikian pada satu Mesyuarat Jawatankuasa Pesaka yang berlangsung di Melaka Ahad lalu.

Pada mesyuarat yang berlangsung hampir empat jam itu, kesemua exco membabitkan 20 ahli gabungan daripada setiap negeri sebulat suara bersetuju memilih Megat sebagai pengganti kepada Ali Rustam dan jawatan Timbalan Presiden kekal menjadi milik Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah pada Mesyuarat Agung Pesaka (AGM) September ini di Melaka.

"Secara peribadi saya memang terkejut dengan keputusan ini. Takkan tak ada langsung calon yang layak dalam Pesaka yang boleh mengalas tugas sebagai setiausaha. Saya kalau boleh mahu orang muda untuk memimpin Pesaka tapi mungkin Pesaka dan Megat sudah menjadi trend sejak 20 tahun lalu.

"Jadi kita tengok lepas mesyuarat agung nanti. Tapi buat ketika ini saya akan menjalankan tugas sebagai setiausaha seperti biasa sehingga AGM selesai," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Megat memaklumkan jawatan untuk setiausaha agung juga tidak akan dipertandingkan yang mana ia adalah kuasa mutlak presiden yang akan memutuskan siapa yang berhak dan hanya jawatan Naib Presiden I dan II saja akan menjadi rebutan.

Disiarkan pada: July 21, 2020 @ 8:39pm
d