arena

Liga M tetap mula 26 Ogos

Oleh Firdaus Hashim

SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) tetap akan berlangsung seperti dijadualkan iaitu pada 26 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagi mendapatkan pandangan mengenai situasi terkini pandemik Covid-19 yang kembali mencetus kebimbangan ramai selepas peningkatan kembali kes kepada dua angka sejak beberapa hari lalu.

Menurut Ab Ghani menerusi perbincangan itu, Reezal Merican memberi jaminan saingan Liga M masih boleh diteruskan seperti mana keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini untuk membenarkan kejohanan kontak penuh seperti bola sepak bermula 15 Ogos depan masih kekal.

Justeru, MFL menegaskan saingan tempatan yang dijadualkan bersambung pada 26 Ogos adalah mengikut perancangan seperti yang ditetapkan sebelum ini.

"Keputusan untuk menyambung semula Liga M seperti dirancangkan adalah kekal, tiada perubahan setakat ini di mana semua pasukan Liga Malaysia kini sedang giat melakukan persiapan rapi," katanya.

Seperti mana keputusan yang diumumkan oleh MFL pada 17 Julai lalu, Liga M yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat penularan Covid-19 akan kembali bersambung pada 26 Ogos dengan aksi serentak Liga Super dan Liga Perdana manakala saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17-18 Oktober ini.

Bagaimanapun perlawanan tertunda iaitu aksi Liga Super membabitkan PJ City FC berdepan Terengganu FC serta perlawanan Liga Perdana antara UKM FC bertemu Kelantan akan dimainkan lebih awal pada 22 Ogos ini.

Dalam masa yang sama, Ghani mengingatkan kepada pemain, pegawai dan semua pihak agar mengikuti SOP serta mengekalkan momentum seperti sesi latihan Fasa 1.

Ini kerana beliau optimis dengan mematuhi arahan SOP dan menuntut disiplin tinggi daripada semua pihak untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 adalah selaras dengan saranan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman baru-baru ini sebagai usaha untuk mencegah penularan Covid-19.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 3:39pm
d