arena

Bekas jurulatih Espanyol, Machin sertai Qingdao

Oleh AFP

BEKAS bos Sevilla dan Espanyol, Pablo Machin dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Qingdao Huanghai hari ini, hanya tiga hari sebelum saingan Liga Super China (CSL) bermula.

Pengendali berusia 45 tahun itu menggantikan rakan senegara dari Sepanyol, Juanma Lillo yang meninggalkan Qingdao yang baru dinaikkan pangkat bersaing dalam liga utama negara itu bulan lalu untuk menjadi pembantu Pep Guardiola di Manchester City.

Ketika di bawah pimpinan Lillo dan bekas bintang veteran City, Yaya Toure mengawal bahagian tengah, kelab dari utara China itu memenangi kejuaraan Liga Satu China musim lalu seterusnya layak beraksi di CSL. Toure berusia 37 tahun juga dilaporkan meninggalkan kelab itu.

Machin berdepan nasib malang apabila gagal membawa pasukan La Liga, Espanyol yang berada di kedudukan tercorot liga, di mana dia hanya menang empat daripada 15 perlawanan sebelum dipecat pada Disember tahun lalu.

Machin pernah mengendalikan Girona dari 2014 hingga 2018, sebelum menyertai Sevilla, tetapi dipecat pada Mac 2019 hanya selepas sembilan bulan membimbing kelab itu.

Qingdao bakal beraksi pada perlawanan pembukaan musim CSL Sabtu ini, apabila berdepan Wuhan Zall tanpa kehadiran penonton di Suzhou.

Aksi CSL tertangguh lebih lima bulan berikutan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 7:46pm
d