arena

Anugerah Ballon d'Or Messi 'dirompak'

Oleh Agensi

ANUGERAH Ballon d'Or ketujuh yang sepatutnya diterima bintang Argentina dan Barcelona, Lionel Messi 'dirompak' jika berpandu pada statistik penilaian perlawanan.

Acara anugerah popular dunia bagi pemain bola sepak lelaki terbaik itu dibatalkan buat pertama kali dalam sejarah 64 tahun selepas pandemik Covid-19 mengganggu kerancakan saingan musim 2019-20 di seluruh dunia.

Pastinya ia adalah berita buruk buat Messi yang berada di landasan tepat untuk meraih gelaran itu daripada pencabarnya, Cristiano Ronaldo.

Mengikut penilaian perlawanan daripada WhoScored, Messi pemain yang berada di puncak prestasi bagi lima liga utama di Eropah dengan perbezaan beberapa mata berbanding pemain lain.

Sementara, Ronaldo tidak berjaya menembusi senarai tiga teratas.

Penilaian WhoScored mendapati Messi berada di tempat teratas dengan 8.71 daripada 10 mata diikuti bintang PSG, Kylian Mbappe 8.14, penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski di tangga ketiga memungut 8.13 mata.

Daripada senarai 10 pemain terbaik di Eropah itu Ronaldo di tempat keempat dengan 7.91 mata diikuti Kevin De Bruyne (Man City) 7.88, Angle Di Maria (PSG) 7.75, Dimitri Payet (Marseille) 7.73, Josip Ilicic (Atalanta) 7.65, Jadon Sancho (Dortmund) 7.64 dan Timo Werner (RB Leipzig) 7.6 mata.

Anugerah Ballon d'Or tidak akan diberikan pada tahun ini kerana pandemik Covid-19, penganjur berasakan adalah tidak adil untuk melakukan undian pemain terbaik apabila beberapa liga utama dibatalkan lebih awal.

Disiarkan pada: July 22, 2020 @ 10:18pm
d