arena

Klopp seperti di puncak dunia

Oleh AFP

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp berkata, menjulang trofi Liga Perdana di Anfield seperti berada di puncak dunia walaupun melakukannya dalam stadium kosong susulan pandemik koronavirus.

The Reds menamatkan kemarau gelaran 30 tahun bulan lalu tetapi terpaksa menunggu sehingga kemenangan getir 5-3 ke atas Chelsea dalam aksi terakhir di tempat sendiri musim ini untuk menjulang trofi buat pertama kali.

"Anda melakukan sehabis baik yang boleh," kata Klopp kepada Sky Sports. "Hari ini keluarga kami dibenarkan berada di sana yang sangat menakjubkan. Ia bermakna dunia kepada saya.

"Semuanya akan lebih indah dengan penyokong tetapi ia agak mustahil. Beberapa bulan lalu saya fikir kami tidak akan beraksi lagi.

"Secara jujurnya saya lebih gembira jika keraian ini lebih lengkap dengan penyokong kami tetapi kami tak dapat menukarnya. Tetapi kami mahu mereka tahu, kami berjaya melakukannya untuk mereka dan ia detik tidak boleh dilupakan."

Walaupun penyokong digesa menjauhi stadium pada malam Liverpool menjulang trofi, mereka tetap memenuhi sekitar stadium sebelum sepak mula manakala pada babak kedua lebih banyak letupan mercun dan bunga api kedengaran.

Manakala di atas padang, anak buah Klopp memastikan malam gemilang menerusi keputusan positif selepas hanya meraih dua kemenangan dalam lima aksi terakhir sejak mereka mengesahkan kejuaraan.

Dan sekali lagi pengendali dari Jerman itu berjanji akan menganjurkan perarakan ke seluruh bandar apabila situasi mengizinkan.

"Anda perlu bersedia untuk berpesta," katanya. "Bila saya tak tahu tapi apabila virus ini hilang kita boleh berpesta bersama."

Keputusan awal pagi tadi menjejaskan kedudukan Chelsea apabila jatuh ke tempat keempat dan skuad Frank Lampard perlukan mata di tempat sendiri ketika menentang Wolves di Stamford Bridge pada Ahad ini untuk mengesahkan slot Liga Juara-Juara.

"Ia sukar, kami tahu situasinya," kata Lampard.

"Kini semuanya bergantung kepada kami untuk mendapatkan keputusan baik ketika menentang Wolves, pasukan yang sangat bagus."

Liverpool mendahului 3-0 dalam tempoh 43 minit hasil jaringan Naby Keita, Trent Alexander-Arnold dan Georginio Wijnaldum yang menyukarkan Chelsea untuk bangkit.

Namun mereka hampir melakukannya walaupun selepas Roberto Firmino menjaringkan gol pertamanya di Anfield musim ini sejurus selepas Olivier Giroud meledak gol pertama pelawat pada hujung babak pertama.

Kemasukan Christian Pulisic mengubah rentak permainan Chelsea selepas gandingannya bersama Tammy Abraham dan Callum Hudson-Odoi kerap mencemaskan kubu tuan rumah.

Bintang Amerika Syarikat itu memperdayakan beberapa pertahanan Liverpool sebelum melorongkan bola kepada Abraham yang mudah menolak bola masuk untuk gol kedua Chelsea. Dia kemudiannya merapatkan jurang dengan rembatan kencang dalam kotak penalti.

Tetapi kelemahan pertahanan Chelsea terserlah pada lewat permainan apabila Alex Oxlade-Chamberlain menjaringkan gol kelima selepas mendapat hantaran Andy Robertson.

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 7:38am
d