arena

Penyu ligat tingkat kecergasan

Oleh Malik Muhamad

SELEPAS berehat panjang bagi membendung penularan pandemik Covid-19, barisan pemain Terengganu FC (TFC) tetap positif bertemu PJ City FC di laman lawan pada aksi keempat Liga Super yang dijadual berlangsung pada 22 Ogos depan.

Mereka juga lebih bersedia untuk mengharungi saingan liga selepas mula menjalani latihan secara berkumpulan sejak sebulan lalu bagi membentuk persefahaman dan strategi lebih mantap bawah di bawah kendalian jurulatih Nafuzi Zain yang dibantu Subri Sulung dan bekas kapten kebangsaan, Rosdi Talib.

Bagaimanapun, skuad itu kekurangan seorang pemain selepas bintang importnya dari Singapura, Muhammad Faris Ramli belum bersama pasukan kerana masih lagi berada di negaranya sejak pulang sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Pengurus pasukan, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, selepas secara rasmi menjalani latihan bermula 22 Jun lalu, pemain sudah bersedia walaupun ada beberapa bahagian yang perlu diperkemaskan lagi.

"Setakat ini pemain sudah bersedia dan begitu bersemangat meneruskan saingan liga yang berbaki lapan perlawanan sebelum saingan Piala Malaysia tetapi masih ada perkara perlu dibaiki sebelum bertemu PJ City FC termasuk aspek kecergasan.

"Kita juga akan mengadakan beberapa siri aksi persahabatan bagi memantapkan lagi persembahan, setakat ini kita sudah bertemu Terengganu FC II (TFC II) semalam sebagai ujian pertama," kata Shahrizal yang menyatakan beliau tidak pasti tarikh sebenar Muhammad Faris dapat menjalani latihan bersama pasukan.

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 1:23pm
d