arena

Khabib luah rindu bapanya

Oleh Agensi

SUPERSTAR UFC, Khabib Nurmagomedov bersuara kali pertama sejak kematian bapanya.

Bapa kepada juara lightweight yang tidak pernah kalah, Abdulmanap meninggal dunia ketika berusia 57 tahun pada 3 Julai lalu akibat jangkitan Covid-19.

Sejak itu Khabib, 31, lebih banyak mendiamkan diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada umum tetapi semalam dia melahirkan kerinduan kepada bapanya di Instagram.

Berkongsi kepada peminat foto dia memeluk bapanya, Abdulmanap, dia menulis: "Ayah, anda dirindui. Anda adalah ayah, rakan, abang dan jurulatih dalam satu jiwa. Ayah mengajar saya hampir segalanya apa yang saya tahu. Saya harap ayah gembira dengan saya."

Khabib memulakan latihan di Dagestan ketika berusia lapan tahun di bawah tunjuk ajar bapanya yang turut menjadi jurulatih kepada beberapa atlet lain di negaranya.

Gabungan kedua-duanya membolehkan mereka menang 16 pertarungan berturut-turut di Russia sebelum Khabib berpindah ke Amerika Syarikat untuk memenuhi impiannya menguasai UFC.

Presiden UFC, Dana White baru-baru ini mendedahkan Khabib akan kembali bertarung sebelum hujung tahun ini dan katanya, bintang itu akan mempertahankan gelarannya dengan menentang Justin Gaethje.

Ketika ditanya tarikh pertarungan itu, White berkata: "Saya tak tahu sama ada ia yang pertama tetapi ia akan berlangsung di Fight Island melainkan dunia menjadi lebih laju daripada yang saya jangkakan."

Disiarkan pada: July 23, 2020 @ 2:33pm
d