arena

Tidak mahu skrip 2018 berulang

Oleh Malik Muhamad

EPISOD duka gagal merangkul pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Perak dua tahun lalu diharap tidak kembali berulang sebaliknya skuad ragbi lelaki Terengganu yang tampil lebih perkasa bertekad melakar kilauan emas dalam temasya edisi ke-20 itu yang bakal berlangsung di Johor bermula 6 hingga 14 Mac tahun depan.

Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Amir Amri Mohamad berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan keupayaan pemain selain persediaan rapi pasukan sejak dua tahun lalu.

Katanya, kejayaan skuad senior dalam saingan Piala Agong buat kali pertama dalam sejarah dan Kejohanan 7 Sepasukan Kebangsaan musim lalu juga bakal menyuntik semangat pemain Sukma untuk meraih kejayaan membanggakan pada temasya itu tahun depan.

"Kelebihan sebahagian besar pemain yang merangkul pingat perak pada temasya Sukma dua tahun lalu juga menjadi peluang terbaik buat skuad ragbi lelaki untuk mencipta kejayaan ketiga merangkul pingat emas.

"Kita sasarkan pingat emas buat pasukan lelaki manakala pingat gangsa bagi skuad wanita, kita percaya dan yakin sasaran itu bakal tercapai berdasarkan keupayaan pemain selain persediaan rapi pasukan yang dibimbing jurulatih berpengalaman," ujarnya.

Pasukan ragbi lelaki kini dibimbing Izaimi Zainuddin manakala jurulatih pasukan wanita diketuai bekas pelatih skuad ragbi kebangsaan Sukan Asia 2018, Muhammad Haikal Ibrahim.

Berdasarkan rekod, skuad lelaki pernah merangkul dua kali pingat emas pada temasya Sukma 2008 menumpaskan Negeri Sembilan dan 2010 menundukkan Johor manakala Sukma 2018, skuad bimbingan Izaimi tewas 19-0 pada final kepada Kelantan.

Amir berkata, bagi memastikan Terengganu tidak ketandusan jurulatih dan pengadil berkaliber, PRNT akan mengadakan kursus pengadilan dan kejurulatihan pada akhir bulan depan.

"Selain itu kita juga akan mewujudkan lebih banyak akademi ragbi khususnya di sekolah, setakat ini kita sudah ada akademi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman Kuala Terengganu, SMK Tok Dor Besut dan Sekolah Kebangsaan Banggol Katong Kuala Terengganu," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 5:05pm
d