arena

Pahang berdepan masalah kecederaan

Oleh Asrol Awang

MASALAH kecederaan membelenggu skuad Pahang ketika saingan Liga Super yang ditangguhkan Mac lalu, bersambung pada 26 Ogos ini.

Kecederaan itu membabitkan dua pemain import skuad Tok Gajah, Dickson Nwakaeme yang juga kapten pasukan dan Ivan Carlos serta pemain tengah, Zuhair Aizat Mohd Nazri.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, kecederaan tiga pemain itu memberi tamparan ketika skuad itu berusaha mempersiapkan pasukan selepas berehat panjang kesan daripada penularan Covid-19.

"Apa yang boleh saya katakan ialah kecederaan yang dialami Nwakaeme, Carlos dan Aizat memerlukan masa untuk sembuh dan kembali cergas.

"Tetapi kira-kira sebulan sebelum liga bersambung diharap mereka dapat kembali berlatih bersama pemain lain.

"Ini kerana dua pemain import iaitu Adam Reed dan Khalil Khamis belum pasti untuk beraksi ketika Pahang berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) nanti," katanya.

Dollah berkata, setakat ini, Reed sudah berada di Kuantan dan sedang menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan untuk memastikan bebas daripada wabak pandameik itu.

Katanya, segalanya diharap positif buat pemain tengah dari Filipina itu untuk segera bersama rakan sepasukan dalam membentuk kembali keserasian dan tahap kecergasan.

"Cuma saya tidak dapat pastikan sama ada Khalil dapat bersama pasukan sebelum liga bermula kerana ketika ini dia masih lagi berada di negaranya, Lubnan.

"Saya difahamkan Khalil sepatutnya menaiki kapal terbang minggu ini untuk bersama Pahang tetapi tidak berbuat demikian.

"Diharapkan Khalil dapat bersama Pahang secepat mungkin kerana sebaik tiba di negara ini, dia perlu menjalani tempoh kuarantin wajib 14 hari," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2020 @ 5:18pm
d