arena

Harapan Atalanta tipis

Oleh AFP

HARAPAN Atalanta untuk mengatasi Juventus bagi merebut gelaran Serie A semakin tipis selepas mencatat keputusan seri 1-1 di AC Milan awal pagi ini.

Pasukan dari Bergamo itu kekal di tangga kedua, lima mata di belakang Juventus dengan berbaki hanya dua perlawanan.

Skuad kendalian Gian Piero Gasperini, Atalanta membelasah Milan 5-0 ketika pasukan itu bertemu kali pertama musim ini pada Disember lalu.

Bagaimanapun mereka ketinggalan selepas hanya 14 minit hasil jaringan menerusi sepakan percuma Hakan Calhanoglu.

Milan yang mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam liga perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Gianluigi Donnarumma yang menyelamatkan penalti minit ke-24 Ruslan Malinovskyi.

Bagaimanapun Duvan Zapata menyamakan kedudukan buat pelawat 10 minit kemudian.

Matteo Gabbia gagal mengeluarkan bola dan penyerang Colombia, Zapata mengambil peluang menyamakan kedudukan.

Milan kekal di tangga keenam, satu mata di belakang Roma dan berada di landasan tepat untuk saingan Liga Europa musim depan.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 8:07am
d