arena

Mungkin tiada aksi Simona Halep di Itali

Oleh AFP

KESUNGGUHAN Simona Halep untuk beraksi dalam acara Palermo WTA, yang menandakan penyambungan semula musim selepas lima bulan ditangguhkan mungkin terbantut berikutan syarat semua warga Romania perlu melalui tempoh kuarantin ketika tiba di Itali.

Penganjur kejohanan yang dijadualkan bermula pada 3 Ogos ini, mengemukakan rayuan kepada pihak kerajaan untuk meletakkan syarat berkecuali kepada juara Wimbledon, Simona.

"Kami sudah menghantar surat kepada Menteri Kesihatan, Roberto Speranza bagi permohonan untuk pemeriksaan yang menetapkan syarat buat pemain yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan," kata pengarah kejohanan, Oliviero Palma.

Kementerian Kesihatan mengumumkan mereka mengeluarkan arahan untuk menetap tempoh kuarantin selama 14 hari ketika ketibaan di Itali bagi mereka yang pernah berada ke Romania dan Bulgaria dalam tempoh dua minggu lalu.

"Keputusan ini mungkin akan memberi tamparan kepada pemain seperti Simona Halep yang juga pemain nombor dua dunia dan penyandang kejuaraan Wimbledon. Dia mungkin tidak akan menyertai kejohanan di Palermo lagi," tambah Palma.

Palma berkata dia yakin protokal kesihatan yang sudah ditetapkan oleh WTA memadai untuk memastikan keselamatan dan kesihatan barisan atlet malah kepada semua yang terbabit dalam acara itu."

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 9:56am
d