arena

'Tolong jaga disiplin, ikut SOP'

Oleh Firdaus Hashim

SEMUA pemain dan pegawai membabitkan 24 pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dinasihatkan supaya menjaga disiplin dan penjarakan sosial agar tidak terdedah dengan jangkitan Covid-19.

Peringatan itu diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan selepas salah seorang pemain pasukan Kuching FA yang beraksi dalam saingan Liga Perdana didapati positif sekali gus muncul pemain tempatan pertama yang terkena jangkitan itu.

Bagaimanapun, disahkan pemain berkenaan terkena jangkitan itu ketika sedang bertugas di Hospital Sentosa dan diklasifikasikan dalam kluster hospital berkenaan dan bukannya disebabkan ketika sesi latihan bersama pasukan.

"Apa yang berlaku di Kuching FA ini diharapkan agar pasukan-pasukan yang terbabit dalam Liga-M seperti Liga Super dan Liga Perdana agar lebih mendisiplinkan diri dan lebih berhati-hati mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang dimaklumkan MFL.

"Setakat sekarang SOP dalam latihan tak ada masalah semuanya (semua pasukan Liga-M) ikut dengan baik. Tetapi apabila mereka berada dari luar pasukan, pemain dan pegawai perlu mendisiplinkan diri kerana masing-masing ada tugas untuk menjalankan Liga-M pada 26 Ogos nanti.

"Mungkin risiko di luar untuk mendapat Covid-19 lebih berisiko dan mereka (pemain dan pegawai pasukan) kena sentiasa beringat," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, pengurusan Kuching FA mengumumkan semua aktiviti sesi latihan mereka dihentikan buat sementara waktu sehingga menerima maklum balas serta arahan dari pihak berkuasa selepas seorang pemain mereka didapati positif Covid-19.

Ini adalah kes positif pertama yang dialami oleh pemain bola sepak dalam saingan Liga-M dan isu ini mungkin menjadi sensitif terhadap persekitaran bola sepak domestik yang akan bermula tidak lama lagi.

Berdasarkan pengumuman MFL, Liga-M yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akan kembali bersambung pada 26 Ogos membabitkan Liga Super dan Liga Perdana, manakala saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17 Oktober depan.

Sementara itu, Ghani memuji tindakan pantas pasukan Kuching FA yang mengkuarantin pemain dan pegawai serta merta bagi mengelak dijangkitan kepada pasukan.

"Tindakan daripada Kuching FA kuarantin pemain dan pegawai dengan kadar segera satu langkah terpuji dan baik. Di peringkat MFL memerhatikan perkara ini dan kita berharap agar pemain dan pegawai yang lain itu tidak mendapat jangkitan daripada pemain ini," katanya.

Jelasnya lagi, pihak akan memantau situasi berkenaan dan sebarang pindaan jadual aksi Kuching FA akan dimaklumkan kemudian.

"Itu (rombakan jadual) kena buat kajian terperinci sebab kalau mereka didapati negatif Covid-19, mereka boleh menjalani latihan pada 6 Ogos di mana ada lagi 12 hari untuk memulakan latihan semula. Peringkat MFL akan memaklumkannya," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 5:59pm
d