arena

Uniknya persahabatan legenda kita

Oleh Firdaus Hashim

KEJAYAAN skuad Harimau Malaya melayakkan diri secara merit ke temasya Sukan Olimpik Moscow 1980 adalah antara pencapaian cemerlang pasukan negara di pentas antarabangsa.

Kemenangan 2-1 mengatasi Korea Selatan dalam aksi penentuan Kelayakan ke Sukan Olimpik di Stadium Merdeka masih diingati oleh peminat tempatan khususnya menerusi aksi bertenaga pemain negara ketika itu.

Antara barisan pemain negara ketika itu termasuk mendiang R Arumugam, Datuk Jamal Nasir, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Kamaruddin Abdullah, Bakri Ibni, Shukor Salleh, Khalid Ali, Abdullah Ali, Abdah Alif, Hassan Sani, dan James Wong.

Dalam aksi itu, dua pemain negara iaitu Bakri dan James mencetak nama selaku penjaring untuk merekodkan kemenangan dramatik di depan ribuan penyokong.

Bagaimanapun, Malaysia tidak menghantar pasukan ke temasya itu berikutan keputusan kerajaan yang memboikot tindakan tuan rumah yang menyerang Afghanistan pada ketika itu.

Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, namun keakraban di kalangan anggota skuad itu masih utuh hingga kini biarpun sudah hampir 40 tahun berlalu.

Menerusi foto terbaharu yang viral di laman sosial baru-baru ini, empat tonggak utama iaitu ketua pasukan Chin Aun atau lebih dikenali dengan gelaran 'tauke', Santokh, James dan Hassan mendapat perhatian ramai.

Siapa tidak kenal dengan keempat-empat wira negara itu, terutama Chin Aun dan Santokh adalah gandingan benteng pertahanan Harimau Malaya paling digeruni di rantau ini pada era 80-an.

Manakala keserasian antara dua penyerang iaitu James dan Hassan sering menjadi igauan benteng lawan terutama Hassan yang pernah diberi jolokan 'lipas kudung'.

Apa yang pasti, detik bersejarah yang dicipta generasi emas ketika itu akan terpahat sebagai pencapaian gemilang yang sukar untuk diulangi biarpun ia sebenarnya adalah penampilan kedua Harimau Malaya di pentas Olimpik selepas turut layak pada 1972 di Munich, Jerman.

Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 9:42pm
d