arena

'Tubuh saya kata berhenti' : Marquez

Oleh AFP

JUARA Dunia, Marc Marquez tidak beraksi di Grand Prix (GP) Andalusia di Jerez selepas menarik diri pada sesi kelayakan semalam, empat hari selepas selamat menjalani pembedahan di tangan.

"Saya faham adalah amat sukar untuk menunggang motosikal dan untuk menamatkan 25 pusingan dalam perlumbaan," kata Marquez.

"Tapi selepas pembedahan saya lihat ada kebarangkalian kecil," katanya.

"Apabila anda adalah atlet sukan, dan anda mempunyai semangat, anda akan mencuba."

Juara dunia enam kali MotoGP itu patah tangan kanan selepas terbabit dengan kemalangan pada perlumbaan GP Sepanyol di litar sama, Ahad lalu dan selamat menjalani pembedahan pada Selasa.

Dia diisytiharkan cergas untuk berlumba pada Khamis lalu selepas melepasi pemeriksaan kesihatan termasuk melakukan senaman tekan tubi sebanyak 40 kali menggunakan tangannya yang patah.

"Juara tidak boleh duduk di rumah jika dia fikir dia mempunyai pilihan atau peluang tipis," kata bos Honda, Alberto Puig selepas sesi kelayakan semalam.

Pelumba Honda itu tidak beraksi pada sesi latihan bebas kelmarin dan bergelut pada sesi latihan bebas ketiga semalam sebelum menarik diri pada sesi kelayakan tanpa mencatat masa.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 9:50am
d