arena

'Saya hanya bagi tips bila perlu'

Oleh Aida Adilah Mat

PENGARAH Pembangunan Belia, Datuk Misbun Sidek menegaskan beliau tidak akan menjalankan tugas sebagai jurulatih kepada pemain muda kerana itu bukan tanggungjawabnya.

Katanya, beliau hanya akan memantau dan melihat kredibiliti jurulatih yang sudah dipilih untuk menjalankan tugas masing-masing.

Beliau yang ditemui pada hari pertama pemain remaja negara melapor diri di Akademi Badminton Malaysia hari ini memberi sepenuh kepercayaan kepada barisan jurulatih untuk mengikut struktur yang sudah diberikan.

"Saya tidak akan ganggu program jurulatih di bawah saya. Itu adalah program yang sudah diatur mengikut peringkat masing-masing.

"Cuma jika saya rasa perlu untuk memberi tunjuk ajar atau tips mungkin saya akan masuk," katanya.

Antara kejohanan utama yang akan menjadi kayu pengukur kepimpinan beliau adalah Kejohanan Remaja Dunia BWF 2020 yang dijadualkan berlangsung di Auckland, New Zealand pada 18 hingga 24 Januari tahun depan.

Untuk rekod bahagian perseorangan bawah 18 tahun akan dikendalikan oleh bekas pemain perseorangan negara, Hazwan Jamaluddin dan Poh Chai Boon.

Tiga pakar beregu, Pang Cheh Chang, Vountus Indra Mawan dan Lutfi Zaim akan membimbing pemain beregu bawah 18 tahun.

Manakala bekas pemain perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim dan Alvin Chew akan ditugaskan untuk melatih pasukan lelaki bawah 15 tahun.

Kwan Yoke Meng yang pernah membarisi skuad Piala Thomas 1992 akan diberi portfolio baru iaitu mengetuai bahagian pembangunan perempuan bawah 13 tahun sementara jurulatih berpengalaman Zhang Hong Yu akan mengawasi pemain wanita bagi kategori bawah 15 dan 14 tahun.

Pada pertemuan di ABM hari ini, bekas ketua jurulatih perseorangan negara itu meluahkan rasa lega dan rindunya apabila dapat melihat kembali pemain muda negara kembali menjalani latihan selepas empat bulan berada di rumah masing-masing.

Seramai 43 atlet remaja berusia 16 hingga 18 tahun dan enam jurulatih melapor diri semalam termasuk anak saudaranya, Muhammad Fazriq Razif iaitu anak kepada Datuk Mohammad Razif Mohd Sidek selesai menjalani ujian saringan Covid-19 dan dijangka akan turun menjalani latihan Selasa ini sekiranya keputusan ujian negatif.

Kata Misbun, atlet remaja akan diuji pada kejohanan pertama iaitu Kejohanan Badminton bawa 21 tahun kebangsaan, September ini.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 7:38pm
d