arena

Dollah harap tiga pemain cepat pulih

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh memuji komitmen anak buahnya menjelang pembukaan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 26 Ogos ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, sebaik sesi latihan berpasukan dibenarkan, semua pemain Tok Gajah memberi komitmen tinggi dalam membentuk kembali pasukan.

"Selepas tiga minggu berlatih, saya lihat semua pemain menunjukkan kesungguhan terutama berusaha mempertingkatkan tahap kecergasan masing-masing.

"Ini kerana lebih tiga bulan tidak berlatih bersama dan sudah pasti sebelum liga bersambung nanti, mereka benar-benar berada pada prestasi terbaik.

"Setakat ini, saya berpuas hati kerana tahap kecergasan semakin meningkat dan diharap segala perancangan berjalan lancar," katanya.

Mengulas tiga pemain yang berdepan masalah kecederaan ketika ini, beliau mengharapkan situasi yang dihadapi tidak menjejaskan persiapan pasukan.

Justeru, katanya, tiga pemain berkenaan diharap sempat pulih menjelang pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) nanti.

"Sudah pasti saya mahu menyenaraikan kesebelasan utama dan mengharapkan tiga pemain ini cepat pulih daripada kecederaan," katanya.

Tiga pemain yang kini berdepan masalah kecederaan ialah kapten pasukan, Dickson Nwakaeme, Ivan Carlos dan pemain tengah, Zuhair Aizat Mohd Nazri.

Pada masa sama, Dollah belum pasti dapat menurunkan pemain import, Adan Reed yang baru tiba di Kuantan minggu lalu manakala seorang lagi import, Khalil Khamis masih lagi berada di Lubnan.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 10:58pm
d