arena

Hanya dua perlawanan persahabatan

Oleh Syazwan Msar

KESELAMATAN menjadi keutamaan apabila skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe hanya mengharungi dua sahaja perlawanan persahabatan antarabangsa walaupun terdapat khabar angin mengatakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang mengatur aksi ketiga dalam masa terdekat ini.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam memaklumkan kesukaran mendapatkan kebenaran dan berdepan isu keselamatan menyebabkan skuad Harimau Malaya perlu berpuas hati dengan dua aksi perlawanan persahabatan menentang Bahrain dan Kuwait.

"Kita tidak boleh menambah perlawanan persahabatan walaupun itu baik sebagai persediaan negara bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Mengikut perancangan, kita akan menentang Bahrain terlebih dahulu sebelum bertemu dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada Oktober.

"Perlawanan persahabatan menentang Kuwait pula dijadualkan berlangsung sebelum kita berlepas ke Bangkok untuk menentang Thailand pada November nanti," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Cheng Hoe berharap satu lagi aksi persahabatan dapat diatur buat anak-anak buahnya sebelum mengharungi aksi terakhir Kumpulan G saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada November depan.

Sebagai rekod, cabaran skuad negara pada pusingan kelayakan ini masih berbaki tiga perlawanan apabila dijadualkan bertemu dengan UAE dan Vietnam pada Oktober sebelum menamatkan kempen dengan menentang Thailand pada November nanti.

Sementara itu, berkaitan kemungkinan akan membatalkan perlawanan persahabatan itu selepas peningkatan kes Covid-19, Stuart berkata, setakat ini FAM memantau situasi berkenaan dan hanya mengikut arahan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk tindakan susulan.

"Sehingga kini, perlawanan persahabatan akan berjalan seperti biasa namun kita tetap akan berhubung dengan AFC bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan perkara terbabit," katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 8:56pm
d