arena

Mbappe rehat tiga minggu

Oleh AFP

KYLIAN Mbappe terpaksa diketepikan "kira-kira tiga minggu" selepas mengalami kecederaan pergelangan kaki pada aksi final Piala Perancis, Sabtu lalu.

Kecederaan itu turut menyebabkan dia bakal tersisih dalam pasukan Paris Saint-Germain pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Atalanta pada 12 Ogos.

Penyerang Perancis terpaksa dikeluarkan pada babak pertama selepas terjahan keras yang membawa kepada layangan kad merah bagi kapten Saint-Etienne, Loic Perrin ketika kemenangan 1-0 PSG.

PSG memberitahu imbasan perubatan mengesahkan keputusan ujian membabitkan kecederaan pergelangan kaki kanan dan Mbappe turut mengalami kecederaan otot.

Kelab itu menjangkakan tempoh untuk dia kembali beraksi semula "kira-kira tiga minggu", bermakna dia akan terlepas aksi final Piala Liga Perancis berdepan Lyon awal pagi Sabtu ini.

Kecederaan itu juga menimbulkan keraguan mengenai kemampuan Mbappe untuk beraksi pada kempen Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun pemain berusia 21 tahun itu mungkin cergas untuk diturunkan pada aksi berikutnya jika skuad kendalian Thomas Tuchel mara ke peringkat separuh akhir.

Saingan kejohanan kelab elit bola sepak Eropah kali ini dilangsungkan dengan format kalah mati yang unik di Lisbon berikutan kesukaran kerana pandemik Covid-19.

PSG berdepan Atalanta pada aksi suku akhir dalam kejohanan mini 'lapan terakhir' di Estadio da Luz, dengan aksi separuh akhir dijadualkan pada 18-19 Ogos dan saingan final pada 23 Ogos.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 9:22am
d