arena

Torres dalam radar City

Oleh Agensi

MANCHESTER City mungkin menjadikan pemain sayap Valencia, Ferran Torres pembelian perpindahan pertama mereka musim panas ini bagi menggantikan Leroy Sane.

Valencia meletakkan £40 juta (RM218 juta) bagi Torres, yang masih mempunyai baki satu tahun kontrak bersama kelab La Liga itu dan difahamkan pemain kebangsaan Sepanyol itu berminat untuk perpindahan ke Stadium Etihad.

Pemain Jerman, Sane meninggalkan City untuk menyertai gergasi Bundesliga, Bayern Munich.

City yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kedua juga mensasarkan pertahanan tengah pada musim panas ini.

Pertahanan tengah England, John Stones, 26, dan pertahanan Argentina berusia 32 tahun, Nicolas Otamendi menjadi pilihan di barisan pertahanan ketika Eric Garcia, 19, sebagai gandingan utama di tengah bersama Aymeric Laporte.

Pemain Bawah 21 tahun skuad kebangsaan Sepanyol, Gracia beraksi dalam kesebelasan utama pada enam daripada 10 perlawanan EPL selepas saingan liga bersambung semula pada Jun lalu.

Stones yang terlepas dua perlawanan awal kerana mengalami kecederaan buku lali hanya mula beraksi dalam kesebelasan utama dua kali manakala Otamendi sebanyak tiga kali.

Pengarah Bola Sepak City, Txiki Begiristain berkata dia menjangkakan jendela perpindahan yang "pelik" ketika kempen pasukan itu masih belum tamat sepenuhnya sehingga penghujung Ogos dan dengan musim baharu dijadualkan bermula tiga minggu kemudian pada 12 September ini.

"Kami harus bersedia," katanya kepada laman web City. "Kami tidak mempunyai banyak masa, jadi semua orang akan bertindak dengan cepat. Kami masih lagi mempunyai saingan Liga Juara-Juara (UCL), jadi kami harus tunggu untuk langkah seterusnya."

Begiristain juga berkata City mungkin mengadakan perlawanan persahabatan secara tertutup hujung minggu ini sebagai persediaan saingan perlawanan kedua kelompok 16 terakhir UCL berdepan Real Madrid pada 8 Ogos ini.

City memenangi perlawanan pertama 2-1 di Madrid sebelum musim ditangguhkan pada Mac lalu.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 11:42am
d