arena

Khabib mula berlatih

Oleh Agensi

KHABIB Nurmagomedov sudah kembali menjalani latihan buat pertama kali selepas kematian tragis bapanya, Abdulmanap.

Warga Rusia itu meninggal dunia awal bulan ini pada usia 57 tahun akibat jangkitan Covid-19.

Khabib, 31, diberikan ruang untuk 'bersendirian' oleh presiden UFC, Dana White susulan kejadian menimpa bapanya itu.

Namun dia dijangka kembali ke octagon tidak lama lagi, ketika juara interim lightweight, Justin Gaethje menanti pertarungan mereka.

Beberapa gambar disiarkan pengurusan pasukan Eagle mengesahkan bahawa dia kini kembali menjalani latihan sebagai persediaan untuk kembali ke gelanggang.

Pertarungan yang besar kemungkinan diadakan di Abu Dhabi - sejak kali terakhir kejayaannya ke atas Dustin Poirier pada September lalu.

Ia akan menjadi detik penuh emosi buat Khabib yang beraksi di gelanggang tanpa kehadiran bapanya yang sebelum ini kerap berada di penjuru gelanggang ketika dia bertarung pada mana-mana kejohanan.

Selain hubungan bapa dan anak, Abdulmanap menjadi jurulatih dan mentor Khabib sepanjang kariernya.

Abdulmanap juga melahirkan ramai atlet gusti dan petarung berbakat dari Dagestan serta di wilayah Rusia yang lain.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 12:51pm
d