arena

Hantar pelapis ke Sukan Sea

Oleh Aida Adilah Mat

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tidak menolak untuk menyenaraikan skuad pelapis ke temasya Sukan Sea Vietnam kerana merasakan mereka perlu diberi pendedahan yang sewajarnya untuk mengorak langkah ke peringkat lebih tinggi.

Ia adalah perlu sebagai langkah awal untuk memastikan mereka bersedia menjadi pelapis kepada skuad sedia ada.

Bagaimanapun, khidmat atlet senior masih tetap diperlukan untuk membentuk satu kombinasi yang mantap iaitu gabungan muka lama dan baru dalam skuad olahraga negara.

Ketua jurulatih, Mohd Manshahar Abdul Jalil ketika ditemui bagaimanapun berkata, barisan atlet remaja itu perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan sebelum layak disenaraikan ke temasya dwi tahunan itu.

"Pada saya atlet muda ini adalah generasi yang perlu diberi peluang untuk bertanding di Sukan Sea. Kita perlu bimbing mereka.

"Sebab kita tahu karier atlet senior kita akan berakhir satu masa nanti. Contohnya seperti Lee Hup Wei dan mereka yang lain.

"Mungkin Sukan Sea Vietnam ini yang terakhir jadi sudah pasti kita perlu perancangan awal untuk melahirkan atlet sebaik Hup Wei pada masa hadapan.

"Proses kesinambungan kepada pencapaian negara itu kini sedang berlangsung dengan memberi peluang kepada atlet muda menyertai kejohanan kompetitif seperti Sukan Sea," katanya.

Dalam perkembangan yang sama Manshahar berkata, KOM kini sedang merangka beberapa pertandingan domestik bagi membolehkan atlet kebangsaan menyertainya selepas selesai fasa persediaan ketika ini.

Katanya, ia adalah penting buat atlet sebelum mereka melalui fasa pertandingan sebenar terutama bagi mereka yang mempunyai potensi cerah ke Sukan Olimpik.

"Pertandingan tempatan ini adalah untuk membantu atlet selepas proses 'conditioning'.

Sekurang-kurangnya mereka bersedia untuk bertanding di kejohanan lebih tinggi yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik.

"Kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik hanya akan bermula di Disember ini hingga Jun tahun depan," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 1:42pm
d