arena

Kejohanan mini uji pemanah negara

Oleh Aida Adilah Mat

SKUAD pemanah negara semakin menemui rentak dan dijangka akan melalui sesi latihan ujian sepanjang minggu ini.

Bagaimanapun ia tidak mencukupi kerana apa yang penting ketika ini adalah pertandingan untuk menilai tahap prestasi atlet negara dengan ketua jurulatih, Lee Jae-hyung sedang merangka pertandingan dalaman pada September dan Oktober ini.

Jae-hyung berkata, sepanjang kem latihan Road To Tokyo (RTT) bulan lalu, tumpuan latihan terarah kepada mendapatkan kembali rentak, bentuk fizikal dan skil masing-masing yang kini sudah menampakkan peningkatan.

"Masa kem RTT panahan mereka sudah semakin tepat. Tapi masih perlu melakukan latihan simulasi dalam satu atau dua kali lagi.

"Saya akan buat pertandingan mini untuk melihat sama ada mampu untuk menyerlah atau tidak ketika dalam fasa pemulihan ini," katanya yang menjelaskan atlet akan mulakan latihan memanah untuk jarak 70 meter (m) selain latihan simulasi dalam tempoh terdekat ini.

Misi skuad memanah negara adalah memburu satu lagi slot ke Olimpik dalam acara berpasukan yang mana peluang terakhir mereka adalah di Piala Dunia yang akan berlangsung dari 22 hingga 27 Julai tahun depan di Berlin, Jerman.

Untuk layak ke Tokyo, trio negara perlu menamatkan saingan di kedudukan tiga terbaik di kejohanan itu yang mana secara automatik akan turut mendapat tempat beraksi dalam acara individu.

Ketika ini hanya Khairul Anuar Mohamad berjaya layak ke temasya Olimpik Tokyo selepas meraih perak di Kejohanan Dunia tahun lalu dalam acara individu. Ia adalah penampilan ketiga atlet itu di Olimpik.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu bagaimanapun berkata, pemain negara mempunyai peluang yang cerah untuk layak jika dapat mengatasi masalah dalam diri sendiri.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 1:18pm
d