arena

Rahm mahu kekal status nombor satu

Oleh AFP

PEMAIN Sepanyol, Jon Rahm melakukan penampilan pertama sebagai pemain golf nombor satu dunia di Jemputan WGC St. Jude minggu ini, dengan harapan meneruskan pencapaian cemerlang di acara utama itu.

Rahm memenangi kejuaraan the Memorial dua minggu lalu untuk mengatasi Rory McIlroy dan melonjak ke puncak ranking pemain buat pertama kali sekali gus menjadi pemain pertama dari Sepanyol sejak Seve Ballesteros berada di senarai kedudukan teratas.

"Ia satu penghormatan tinggi dan terasa agak rendah diri berada di sini mengetahui bertapa sukar saya berusaha berada di kedudukan ini.

"Menjadi pemain pertama Sepanyol sejak Seve, mengetahui bagaimana sesetengah pemain golf terbaik di Sepanyol dan Eropah tidak berpeluang berada di sini," kata Rahm.

"Berada di tempat ini adalah sangat hebat, tetapi pada masa sama, saya hanya memikirkan untuk terus bermain dengan bagus atau lebih baik untuk kekal di tempat ini dengan lebih lama."

Rahm, 25, yang memenangi enam kejuaraan Jelajah Eropah termasuk pada 2017 dan Kejuaraan Jelajah Dunia 2019 di Dubai, mampu mengukuhkan kedudukan jika dapat melakar kejayaan di lapangan yang menampilkan 45 daripada 50 pemain terbaik dunia di TPC Southwind dekat Memphis, Tennessee.

Hanya lima pemain yang memenangi kejuaraan PGA AS pada penampilan pertama dengan status pemain nombor satu - pemain Wales, Ian Woosnam di Masters 1991, David Duval (AS) di BellSouth Klasik 1999, Vijay Singh (Fiji) di Terbuka Kanada 2004, Adam Scott (Australia) di Cabaran Charles Schwab 2014 dan Dustin Johnson (AS) Kejohanan WGC Mexico 2017.

"Untuk menjadi pemain nombor satu dalam dunia adalah sesuatu yang hebat," kata Rahm.

"Ia adalah hadiah kerana bermain golf dengan baik dalam tempoh empat tahun lalu bukan hanya pada minggu lalu."

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 1:17pm
d