arena

Dosa besar gagal bayar gaji

Oleh Firdaus Hashim

KEGAGALAN pengurusan menjaga kebajikan pemain terutamanya soal gaji adalah 'dosa besar' bagi seorang pemimpin yang mengemudi sesebuah pasukan.

Ia diakui pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menganggap kebajikan pemain adalah elemen terpenting.

Katanya, kejayaan skuad Harimau Selatan mendominasi saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak ia dijenamakan daripada Johor FC kepada JDT pada 2013 didorong oleh sikap profesional pengurusan terutama tentang pembayaran gaji.

"Gagal membayar gaji adalah satu kegagalan besar sebagai seorang pemimpin," katanya di laman rasmi Facebook pasukan Johor Southern Tigers.

Untuk rekod, juara Liga Super enam tahun berturut-turut (2014-2019) itu tidak pernah mempunyai sebarang isu berkaitan gaji atau bonus kepada para pemain, jurulatih dan kakitangan sejak 2013.

Kelab ini juga menyediakan fasiliti bertaraf dunia yang boleh dikatakan terbaik di Asia Tenggara selain kejayaan menggondol sebanyak 15 trofi termasuk mencipta rekod sebagai juara Piala AFC 2015, Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih meletakkan pasukan itu dikelas tersendiri.

Kehebatan skuad utama turut diikuti oleh pasukan Akademi JDT yang berjaya membawa pulang pelbagai trofi sejak dua musim lepas.

Jelas Tunku Ismail lagi, biarpun pandemik Covid-19 sedikit menjejaskan kantung pasukan namun skuad itu tetap berjaya menyelesaikan gaji pemain tanpa sebarang kelewatan.

Malah, pemain juga memahami situasi semasa kesan Covid-19 yang menyaksikan Liga-M ditangguhkan dan pemain sanggup membuat pemotongan gaji bagi meringankan beban kewangan pasukan.

"Pandemik Covid-19 menguji kewangan kelab namun pemain, jurulatih, kakitangan dan pengurusan menunjukkan apa maksud sebenarnya Keluarga JDT apabila sebulat suara bersetuju untuk memotong gaji dalam membantu kewangan kelab dan juga bersetuju untuk menderma sebahagian gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial mereka."

Ketika ini beberapa pasukan Liga-M seperti Kelantan dan Kedah yang berdepan krisis kewangan yang buruk termasuk tunggakan gaji yang mencecah jutaan ringgit.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 7:55pm
d