arena

Bagi isyarat main ala kadar

Oleh Firdaus Hashim

JUARA Piala FA musim lalu, Kedah dilihat berada dalam krisis cukup membimbangkan dan berkemungkinan terjerumus ke saingan Liga Perdana musim depan.

Ia susulan isu tunggakan gaji lima bulan yang masih belum menemui titik noktahnya dengan pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sama ada barisan sekarang mahupun mantan kepimpinan lepas saling menuding jari antara satu sama yang lain.

Senario berkenaan jelas terus menekan pemain skuad Helang Merah yang amat terdesak ekoran ketiadaan sumber pendapatan gaji bagi meneruskan kehidupan.

Sekiranya keadaan ini terus berlanjutan hingga bersambungnya aksi Liga Super pada 26 Ogos ini, sudah tentu motivasi dan 'mood' pasukan akan hilang yang akhirnya membuatkan pemain 'tiada jiwa' di atas padang.

Situasi itu boleh berlaku, malah tonggak import Kedah dari Brazil, Renan Alves turut membayangkan kemungkinan dia dan rakan sepasukan lain akan turut beraksi secara 'ala kadar' dalam baki saingan liga musim ini.

Katanya, sikap pengurusan pasukan yang dilihat seolah berpura-pura dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji amat mengecewakan.

"Mereka (KFA) berpura-pura untuk bayar, kami berpura-pura untuk bermain. Sudah lima bulan dan saya terpaksa hadap semua ini," kata Renan yang juga tonggak pertahanan tengah skuad Hijau Kuning.

Selain itu, penjaga gol pasukan, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim mengganggap krisis tunggakan gaji yang membelenggu KFA umpama drama Sepanyol, La Casa De Papel.

"Seronok cerita ini, trending nombor satu," kata Ifwat di laman Story Instagram miliknya.

Sebelum ini, pengurusan baharu KFA yang kini diterajui oleh Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor mengakui terpaksa menanggung bebanan hutang RM10.6 juta yang perlu dilunaskan kepada pemain dan pegawai yang tidak menerima gaji sejak Mac lalu.

Malah, beliau turut mendedahkan pemain negeri itu ada yang menerima pendapatan sehingga RM125,000 sebulan yang dianggap cukup tinggi.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 8:39pm
d