arena

Arteta pujuk Aubameyang kekal di Arsenal

Oleh AFP

MIKEL Arteta berharap Pierre-Emerick Aubameyang akan kekal di Arsenal untuk memburu lebih banyak kejayaan selepas pemain itu menjaringkan dua gol ketika menewaskan Chelsea 2-1 pada perlawanan akhir Piala FA.

Ia adalah trofi pertama kapten Arsenal itu sejak berpindah ke saingan bola sepak England dari Borussia Dortmund dua setengah tahun lalu.

Kemenangan itu turut mengesahkan tempat Arsenal di Liga Europa musim depan selepas mereka hampir tercicir daripada kejohanan Eropah buat pertama kali dalam tempoh 25 tahun apabila menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga kelapan.

Tetapi dengan Aubameyang terpaksa mengharungi satu lagi musim tanpa Liga Juara-Juara dan kontraknya hanya berbaki setahun di Emirates, pemain antarabangsa Gabon itu dikaitkan dengan perpindahan pada hujung musim ini.

"Dia memerlukan lebih banyak pengalaman meraih trofi. Kami boleh membantunya untuk menyesuaikan dengan keadaan itu.

"Dia tahu apa yang saya fikirkan mengenainya, saya mahu membina skuad di sekelilingnya. Saya tahu dia mahu kekal, saat begini akan membantu dia menyedari serta percaya yang kami berada di landasan betul dan dia sebahagian besar daripadanya," kata Arteta.

Chelsea yang dibimbing Frank Lampard bermula dengan baik apabila Christian Pulisic membuka jaringan hanya selepas lima minit permainan bermula.

Aubameyang mencetus kebangkitan Arsenal dengan mendapatkan penalti dan dia sendiri mudah menyelesaikan tugasan berkenaan sebelum meledak gol kemenangan di babak kedua.

Disiarkan pada: August 2, 2020 @ 9:42am
d