arena

Teringat peristiwa ditendang ala kung-fu

Oleh Firdaus Hashim

HAMPIR semua pemain negara cedera termasuk lebam-lebam dan luka kerana dibelasah penyokong Nepal.

Itu kenangan hitam yang pernah dilalui oleh skuad Olimpik 2000 apabila terbabit dengan insiden pergaduhan ketika aksi Pra Olimpik di Hong Kong yang menyaksikan Malaysia seri 1-1 dengan Nepal.

Mengimbas detik mencemaskan itu, bekas penyerang negara, Khalid Jamlus mengakui pemain negara ditendang ala kung-fu oleh penyokong Nepal dalam pergaduhan itu.

Malah, tindakan penyokong lawan yang membawa besi dan tali pinggang jelas mengancam nyawa pemain negara yang lari bagi menyelamatkan diri masing-masing.

"Sebenarnya benda itu (pergaduhan) jadi sebab penyokong Nepal masuk ke padang dan ambil bola untuk melengahkan-lengahkan permainan.

"Pada waktu itu, Nepal berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dan kita nak sambung cepat untuk cari gol tambahan. Tapi sebaliknya berlaku, apabila penyokong Nepal masuk dalam padang.

"Pemain kita cuba nak ambil bola itu semula tapi ketika itulah tercetusnya pergaduhan. Penyokong lawan ramai dalam beribu juga. Kita terpaksa lari nak selamatkan diri sebab keadaan masa itu memang bahaya.

"Itulah cerita sebenarnya. Bukan sebab kita yang mulakan, tapi penyokong Nepal yang bertindak mengganggu perlawanan," katanya ketika ditemui pada sesi bertemu peminat KJ25 (Khalid Jamlus 25) baru-baru ini.

Pada aksi 20 tahun lalu itu, Malaysia mendahului menerusi jaringan Rafdi Rashid 1-0 pada minit ke-75 namun Nepal menyamakan kedudukan hasil tandukan Anil Subba dilewat permainan.

Susulan gol penyamaan itu, menyebabkan 3,000 penyokong Nepal masuk ke dalam padang dan melarikan bola dan pemain negara yang terkejut dengan gol berkenaan cuba merampas semula bola untuk memulakan aksi.

Difahamkan, tiga pemain negara mengalami kecederaan serius termasuk abang kepada Akhyar Rashid iaitu Rafdi Rashid yang retak tulang rusuk selepas dibelasah penyokong lawan.

"Bagi saya itu adalah insiden atau peristiwa paling dasyat yang pernah saya lalui ketika bergelar pemain negara," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2020 @ 6:38pm
d