arena

Ragbi Asia batalkan semua kejohanan

Oleh Syazwan Msar

PENULARAN pandemik Covid-19 yang dilihat semakin meningkat di negara tertentu mendorong Ragbi Asia membatalkan semua kejohanan di Asia yang sepatutnya berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember depan.

Keputusan terbabit diambil berdasarkan perbincangan komprehensif membabitkan Jawatankuasa Pertandingan termasuk Jawatankuasa Kebajikan dan Perubatan Pemain serta pemegang taruh yang sudah ditetapkan Ragbi Dunia.

Berita sedih terbabit terpaksa diumumkan demi menjaga keselamatan semua pihak apabila melihat penularan pandemik berkenaan semakin meningkat.

Presiden Ragbi Asia, Qais Al Dhalai berkata, pembatalan itu juga mengurangkan risiko kepada pemain dan pihak berkaitan daripada dijangkiti Covid-19.

"Keputusan kami berdasarkan maklum balas daripada Jawatankuasa Pertandingan dan Kumpulan Pekerja Covid-19 mengenai waktu sesuai untuk sukan ragbi kembali dipertandingkan," katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Ragbi Asia, Asanga Seneviratne menjelaskan, pihaknya akan kembali menumpukan fokus mereka mengenai format pertandingan dan aktiviti untuk tahun depan.

"Ragbi Asia juga akan terus bekerjasama dengan semua pemegang taruh untuk memantau perkembangan situasi semasa Covid-19," jelasnya.

Mengikut rekod, sekurang-sekurangnya tujuh kejohanan bakal dianjurkan Ragbi Asia bermula Oktober hingga Disember tahun ini namun semuanya terpaksa dibatalkan termasuk Kejohanan Ragbi Asia Divisyen 2.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 2, 2020 @ 8:53pm
    d