arena

Lecce, SPAL ucap selamat tinggal Serie A

Oleh AFP

LECCE tersingkir dari Serie A selepas hanya semusim beraksi di liga utama Itali tatkala musim yang penuh dramatik baik di dalam mahupun di luar padang di negara berkenaan sudah menutup tirai.

Pasukan bimbingan Fabio Liverani tumpas 3-4 kepada Parma namun mereka tetap akan tergelincir ke Serie B walaupun mencatat kemenangan selepas satu lagi pasukan sedang bergelut Genoa berjaya mencatat kemenangan 3-0 dalam perlawanan yang menyaksikan layangan empat kad merah termasuk kepada pengendali Verona, Ivan Juric.

Lecce, yang akan tersingkir ke Serie B selepas menamatkan saingan di tempat ke-17, hanya kurang satu mata di belakang Genoa.

Mereka memerlukan kemenangan ketika berdepan Parma dan berharap Genoa gagal mengalahkan Verona untuk terus kekal di saingan utama Itali.

Bagaimanapun, pertahanan Lecce, Fabio Luciono membuatkan tugas pasukannya bertambah rumit selepas 10 minit perlawanan berlangsung apabila tertampan bola ke gawang sendiri berpunca daripada rembatan Hernani yang terkena tiang.

Gianluca Caprari seterusnya menambah gol kedua pasukan pelawat 13 minit kemudian apabila melakukan rembatan deras dalam petak penalti selepas menerima hantaran daripada Hernani.

Beberapa saat kemudian Antonio Sanarbia meledak gol kedua buat Genoa untuk membolehkan pasukan tuan rumah mencatat kemenangan ke atas Verona di Stadium Luigi Ferraris, sekali gus memadam harapan Lecce yang mengharapkan keajaiban pada hari terakhir.

Bagaimanapun, Lecce tidak menyerah kalah dan dua gol pantas membolehkan mereka menyamakan kedudukan, selepas Antonin Barak menanduk masuk bola pada minit ke-40 sebelum Biagio Meccariello mengikat kedudukan hasil tandukan deras sebelum rehat.

Genoa pula menambah jaringan ketiga ketika itu dan ia berpunca daripada tandukan padu Cristian Romero.

Dalam masa sama Parma pula kembali mendahului enam minit selepas separuh masa kedua bersambung apabila Andreas Cornelius menampan masuk hantaran rendah Antonio Barilla dan gol keempat hadir pada minit ke-66 melalui Roberto Inglese.

Sementara itu, Udinese mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sassuolo, manakala Torino dan Bologna seri 1-1.

Fiorentina pula mencatat kemenangan 3-1 sekali gus menghantar SPAL ke Serie B musim depan.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 8:45am
d