arena

Terbuka Palermo jadi medan ujian

Oleh AFP

SELEPAS hampir lima bulan saingan tenis musim ini terhenti akibat pandemik Covid-19, Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) bermula hari ini walaupun hanya saingan kecil tapi tetap berada dalam pengawasan di Palermo.

Kejohanan di Sicily, yang hadir hanya beberapa minggu sebelum Terbuka Amerika Syarikat dan Roland Garros, mendapat tamparan awal selepas sudah kehilangan pemain pilihan utama Simona Halep.

Simona menarik diri akibat bimbang dengan masalah kesihatan, manakala seorang pemain yang tidak disebut nama turut meninggalkan kejohanan selepas diuji positif Covid-19.

Sofia Kenin dan Elina Svitolina adalah pemain terakhir meraih gelaran di Lyon dan Monterrey pada 8 Mac, sebelum semua saingan kompetitif dihentikan sekali gus menyaksikan kalendar tenis musim ini tunggang langgang.

Kejohanan berprestij Indian Wells di California menjadi saingan pertama terpaksa dibatalkan akibat pandemik berkenaan.

Terbuka Perancis pula ditangguhkan sehingga hujung September, manakala Wimbledon dibatalkan buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua,

Bagaimanapun, ketika pemain wanita boleh menyambung aksi hari ini, pemain lelaki pula harus menunggu sehingga Terbuka Western and Southern yang akan berlangsung di New York bermula 22 Ogos ini.

Saingan minggu ini bakal menampilkan pemain dari Eropah dan hanya tiga pemain dari ranking 20 terbaik dunia termasuk Petra Martic (15), naib juara Terbuka Perancis 2019, Marketa Vondrousova dan wakil Greece, Maria Sakkari.

"WTA memberitahu kami dua minggu awal ini adalah kejohanan percubaan. Kami tahu jika berjalan lancar akan ada lagi kejohanan lain. Jika sebaliknya, kalendar mungkin akan dirombak lagi. Kami sedar mengenai perkara itu," kata pemain Perancis ranking ke-174 dunia, Chloe Paquet.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 9:41am
    d