arena

Krishnasamy legenda Olimpik Munich meninggal dunia

Oleh Syazwan Msar

WATAK penting yang berjaya membantu pasukan bola sepak Malaysia melayakkan diri ke sukan Olimpik Munich 1972 V Krishnasamy meninggal dunia semalam pada berusia 72 tahun.

Mendiang antara pemain legenda yang berjaya membantu negara bersaing di pentas Olimpik dipercayai meninggal dunia di sebuah rumah kebajikan orang tua di Pulau Pinang.

Berita sedih berkenaan turut dikongsi menerusi Facebook Istana Negara sebentar tadi apabila memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga lagenda terbabit.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian legenda dan berharap agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

Baginda amat menghargai khidmat dan bakti mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian lagenda itu sebagai satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara.

Krishnasamy adalah bekas pemain bola sepak kebangsaan yang pernah menyinari persada sukan bola sepak negara pada era 70an mengemudi barisan tengah seterusnya antara watak penting hingga pasukan negara layak ke Olimpik 1972.

Selain pernah mewakili Pulau Pinang, mendiang yang digelar 'Iron Man' turut menyarung jersi Perak serta Jabatan Penjara Malaysia.

Namun, di penghujung usianya, mendiang dikatakan tinggal di rumah penjagaan orang tua dan lebih menyedihkan lagi apabila kaki kirinya dipotong akibat diabetes.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 3:57pm
d