arena

Willian hilang minat bersama Chelsea

Oleh Agensi

WILLIAN dijangka meninggalkan Chelsea selepas pemain sayap Brazil itu dilaporkan menolak kontrak baharu dua tahun untuk kekal di Stamford Bridge.

Pemain berusia 31 tahun itu yang dijangka menjadi ejen bebas pada mulanya mahukan kontrak tiga tahun tetapi Blues enggan menyimpannya sehingga 2023.

Menurut Guardian, usaha terakhir Chelsea untuk mengekalkannya gagal menarik minat bekas penyerang Shakhtar Donestsk itu.

Chelsea menawarkan Willian kontrak dua tahun tetapi dia menolaknya sekali gus mencetuskan spekulasi perpindahan selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

Difahamkan dia mungkin menamatkan tempoh karier tujuh tahunnya bersama Chelsea selepas aksi peringkat kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada Ahad ini.

Guardian turut melaporkan Arsenal kini menaruh harapan untuk membawa Willian ke Emirates. Ejen Willian, Kia Joorabchian berkata kepada talkSPORT minggu lalu, pemain itu kini menarik minat lima kelab dengan dua tawaran daripada Liga Perdana.

Bercakap menjelang final Piala FA, dia berkata: "Saya tak fikir dia akan membuat pusingan U. Kami menerima tawaran yang hebat. Satu daripada MLS yang memerlukan dia berpindah pada 1 Julai tetapi dia selalu menegaskan mahu menghabiskan musim di Chelsea dan selepas itu barulah dia menentukan destinasi seterusnya."

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 8:48pm
d