arena

Akademi JDT dapat pengiktirafan tertinggi

Oleh Rizar Mohd Noor

AKADEMI Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi akademi bola sepak pertama di Malaysia dianugerahkan Ahli Emas Piagam SupaRimau yang diperkenalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha memperkasakan program bola sepak akar umbi. Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, Akademi JDT yang di bawah pengurusan Kelab Bolasepak JDT menepati lima kriteria khas untuk akademi berkenaan mendapat pengiktirafan tertinggi itu.

Katanya, lima kriteria khas itu adalah kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan untuk mencapai status Ahli Piagam SupaRimau FAM dan Akademi JDT memiliki kelima-lima kriteria yang ditetapkan.

"Menerusi kepimpinan FAM ketika ini, apa yang ditekankan adalah pembangunan bola sepak akar umbi. Ini langkah terbaik untuk membentuk pemain muda yang berkualiti apabila mereka beraksi di peringkat lebih tinggi.

"Bagi memastikan usaha membentuk pemain berkualiti, FAM akan melihat apa sahaja program akar umbi yang mampu memberi impak positif kepada setiap pemain muda yang sememangnya inginkan pendedahan terbaik dalam sukan bola sepak.

"Ahli Piagam SupaRimau bukan sahaja terbuka kepada akademi bola sepak persatuan negeri atau kelab di bawah naungan FAM, sebaliknya ia terbuka kepada akademi bola sepak swasta dan hanya perlu mendaftar sahaja dan ketika ini sudah 250 akademi bola sepak sudah mendaftar," katanya pada sidang media di ibu pejabat Kelab JDT hari ini.

Turut hadir, Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo; Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dan Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Mohd Anizam Jamian.

Bagi Edwards, anugerah Ahli Emas Piagam SupaRimau yang diberikan kepada Akademi Bolasepak JDT membuktikan betapa perancangan rapi yang diilhamkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ternyata pengiktirafan tertinggi kerana apa jua cetusan idea oleh baginda lebih mengutamakan kelengkapan pusat latihan dan serba lengkap.

Katanya, ketika ini seramai 120 pelatih Akademi JDT membabitkan pemain bawah 12 tahun hingga 21 tahun menjalani latihan di akademi berkenaan dengan dibimbing jurulatih sepenuh masa yang ditugaskan untuk memberi pendedahan terbaik mengenai bola sepak moden.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 8:33pm
d