arena

'Sedia beli Kelantan tapi selesai hutang dulu'

Oleh Firdaus Hashim

"SAYA sedia membeli pasukan tetapi hutang berkenaan mesti diselesaikan terlebih dahulu," kata Wan Kamal Wan Napi yang mengesahkan sedia menyelamatkan pasukan Kelantan apabila berhasrat untuk membeli pasukan itu dalam masa terdekat.

Menerusi postingnya di laman Twitter hari ini, bapa Wan Kuzain dan Wan Kuzri yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) menyatakan keinginan untuk membeli Kelantan tetapi menetapkan syarat terbabit.

Perkembangan itu nyata disambut baik Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) yang menganggap Kamal sebagai wira untuk menyelamatkan bola sepak di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Menurut Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman, pihaknya amat mengalu-alukan kesediaan Kamal untuk membeli pasukan terutama Kelantan FC yang akan bergerak secara berasingan daripada Kafa.

Katanya, pihaknya akan terus berhubung dengan Kamal yang kini menetap di Carbondale, Illinois, AS untuk berbincang lebih lanjut mengenai pembelian pasukan itu.

"Hutang sebanyak RM4.6 juta akan tetap ditanggung Kafa. Sekiranya bapa Kuzain berjaya membeli pasukan, dia akan menjadi pemilik penuh Kelantan FC dan dia tak perlu fikir mengenai hutang Kafa.

"Dia boleh tumpu sepenuhnya kepada kelab saja manakala Kafa akan beri fokus kepada pembangunan dan hutang lapuk untuk diselesaikan. Bak kata pepatah Melayu 'kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan'. Memang kehadiran dia tepat pada masa dan ia akan banyak membantu serta menyelamatkan pasukan Kelantan," kata Hussin ketika dihubungi Arena Metro. Hussin berkata, Kelantan menetapkan nilai pembelian RM3 juta dan royalti tahunan RM1 juta kepada Wan Kamal atau mana-mana pihak yang berminat membeli pasukan itu.

"Geran FAM, jualan tiket dan jualan barangan termasuk jersi pasukan menjadi milik pihak yang memiliki TRW Sdn Bhd (pembeli baharu)," katanya.

Malah, pembelian itu secara langsung akan melengkapkan terus sistem penswastaan pasukan Kelantan seperti mana diwajibkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang meletakkan 30 September ini tarikh akhir buat semua pasukan liga tempatan untuk bergerak berasingan daripada FA negeri.

Kegagalan akan menyebabkan pasukan tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 11:05pm
d