arena

Jaguh sukan rebut anugerah SAM [METROTV]

Oleh Aida Adilah Mat

LIMA atlet terbaik sepanjang 2019 dicalonkan untuk merebut Anugerah Atlet Terbaik di Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2019 yang dijadual berlangsung pada 12 Ogos ini di Auditorium Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Presiden SAM, Jasnie Shafie berkata, beliau berbesar hati dan mengucap setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penaja yang merealisasikan majlis anugerah SAM biarpun pada mulanya menimbang untuk membatalkan anugerah berkenaan berikutan wabak Covid-19.

"Masalah Covid ini turut membabitkan industri sukan dengan SAM turut memikirkan untuk membawa acara tahunan ini ke tahun hadapan.

"Selepas mendapat nasihat daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) serta KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) selain sokongan daripada penaja, kami memutuskan untuk tetap melangsungkan acara ini namun dalam skala lebih kecil," katanya.

Jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang muncul juara di Kejohanan Basikal Trek Siri Dunia di New Zealand dengan menewaskan bekas juara dunia, Shane Perkins dari Russia dan juara dunia kelahiran Australia, Matthew Glaetzer, mengetuai senarai pencalonan.

Pemenang Olahragawan kebangsaan 2017 itu bakal dicabar atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan juga pemenang pingat emas acara badminton perseorangan wanita di Sukan Sea Filipina, S Kisona.

Turut sama dicalonkan adalah atlet wushu, Loh Choon How yang meraih pingat di Kejohanan Dunia pada Oktober dan dua emas di Sukan Sea.

Jaguh luncur ais negara, Julian Yee turut tersenarai bagi merebut Anugerah Atlet Terbaik selepas berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara luncur ais buat kali kedua berturut-turut selepas melakukannya ketika di Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Manakala empat atlet para negara disenaraikan untuk merebut Anugerah Atlet Para Terbaik adalah Bonnie Bunyau Gustin bagi sukan powerlifting, S Suresh dan Wiro Julin (memanah) dan Ziyad Zulkifli (olahraga).

Pemenang kedua-dua anugerah utama menerima hadiah wang tunai RM 10,000 dan trofi.

Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2019, turut dirai di majlis Anugerah SAM-100PLUS adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.

Anugerah di bahagi kepada enam kategori; Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 3:00pm
d