arena

BAM nilai prestasi pemain

Oleh Aida Adilah Mat

SELEPAS sekian lama tidak berdepan saingan kompetitif, Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) mampu menjadi titik tolak untuk menilai prestasi terkini atlet badminton negara.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, ia mampu menjadi pendekatan terbaik buat pemain membina semula keyakinan mereka di dalam gelanggang biarpun pertandingan ini hanya membabitkan perlawanan sesama sendiri.

"Ia satu penganjuran yang bagus apabila pemain dapat membina semula keyakinan mereka. Saya dapat lihat ada pemain yang tertekan macam Leong (Jun Hao). Dia macam 'blur' masa dalam gelanggang.

"Tapi mungkin sebab ini baru pusingan pertama dan saya yakin selepas dua tiga perlawanan semua akan jadi lebih baik. Apa yang penting sekarang ini adalah kecergasan. Mereka akan main round robin. Ada beberapa perlawanan lagi. Jadi siapa yang cergas dia akan menang," katanya di ABM hari ini.

Hendrawan bagaimanapun menegaskan bahawa, cabaran masih lagi terbuka yang mana kedudukan dua teratas dalam saingan divisyen 2 ini masih belum pasti akan layak beraksi ke divisyen 1.

Seramai enam pemain pelapis bersaing dalam aksi divisyen 2 bagi merebut dua slot ke aksi divisyen 1 bermula 11-16 Ogos ini yang akan menampilkan 52 pemain kebangsaan serta profesional dalam lima acara.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 8:24pm
d