arena

Tiga minggu sudah memadai

Oleh Firdaus Hashim

TEMPOH selama lebih tiga minggu bagi mengadakan perlawanan persahabatan sebelum Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung sudah memadai bagi memastikan semua pasukan berada dalam 'gear' terbaik terutama dalam aspek kecergasan bagi menghadapi perlawanan kompetitif.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic yang sudah merangka beberapa aksi persahabatan menganggap masa diberikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu sudah cukup ideal selepas hampir dua bulan kebanyakan pasukan mula menjalani latihan secara terbuka.

Justeru, beliau berharap pemain dapat segera memanfaatkan peluang diberikan dalam perlawanan persahabatan yang mana bukan sahaja penting kepada kesediaan fizikal tetapi daripada segi mental selepas lima bulan tidak turun beraksi dalam sebarang perlawanan.

"Semua pasukan berada dalam kepompong sama iaitu daripada segi masa dalam semua aspek termasuk dalam kebenaran mengadakan aksi persahabatan yang mana saya rasakan tiga minggu sudah cukup.

"Sekurang-kurangnya tempoh yang ada ini sebelum liga bermula saya rasa akan banyak membantu kepada semua pemain mendapatkan semula rentak mereka di atas padang.

"Segala perancangan yang diatur MFL sejak fasa 1 dahulu nampaknya berjalan dengan baik setakat ini dan saya begitu gembira, cuma diharapkan semua pasukan patuh terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agar tidak ada berlaku kejadian yang kita tidak inginkan, "katanya.

Perak setakat ini mengesahkan dua perlawanan persahabatan iaitu bertemu Kuala Lumpur Sabtu ini serta UKM FC pada 14 Ogos dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.

MFL pada Ahad mengumumkan pasukan- Liga Super dan Liga Perdana dibenarkan untuk mengadakan perlawanan pemanas badan atau persahabatan sebagai persiapan awal untuk menyambut aksi Liga M yang bakal bersambung pada 26 Ogos depan.

Bagaimanapun perlawanan persahabatan itu hanya dibenarkan kepada pasukan berstatus Liga Super dan Liga Perdana sahaja selain hanya beraksi di venue yang sudah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan pemanas badan itu diadakan.

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun, juga senada dengan Mehmet, yang berasakan kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan itu sudah sampai masanya memandangkan tinggal kurang sebulan lagi Liga M akan bermula.

Antara perkara paling penting buat Sazali ialah dapat menguji sejauh mana penggunaan lima pemain gantian yang dibenarkan oleh MFL pada Julai selaras dengan kelulusan yang diberikan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Bagi saya perlawanan persahabatan ini sememangnya diinginkan oleh semua pasukan selepas dua bulan berlatih dan ini masa sesuai untuk melihat sejauh kesediaan pemain. Jika sebelum ini tiga sahaja pemain gantian dibenarkan, kali ini suasananya pasti berbeza kerana semua pasukan boleh gunakan lima pemain dan medan perlawanan persahabatan adalah detik terbaik menguji sejauh aspek ini.

"Saya menyambut baik penggunaan lima pemain ini kerana pasti membantu setiap jurulatih mendapatkan yang terbaik daripada pemain ekoran jadual liga yang pasti sedikit padat sebaik bersambung pada 26 Ogos nanti, " kata Sazali.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 8:51pm
d