arena

Ronaldo belum puas bersama Juventus

Oleh Agensi

JUVENTUS meraih Scudetto kesembilan berturut-turut musim ini dan Cristiano Ronaldo mahu menjadikannya yang ke-10 dalam musim ketiganya di Turin.

Ronaldo tampak komited sekurang-kurangnya semusim lagi bersama Juventus sekali gus mahu menjulang Scudetto ketiganya bersama kelab.

Superstar Portugal itu kerap dikaitkan dengan berpindah keluar dari Turin tetapi memberi bayangan mahu kekal untuk kempen ketiga Serie A selepas Juve mengesahkan gelaran 2019-20 milik mereka.

Ronaldo menyertai Juve dari Real Madrid menerusi perpindahan mengejut €100 juta (RM548 juta) dua tahun lalu dan masih mampu mengekalkan momentumnya walaupun tampak sudah berada pada penghujung karier.

Pemain berusia 35 tahun itu menjaringkan 21 gol dalam kempen Serie A 2018-19 sebelum menambah 10 lagi gol musim ini dalam membantu Juve meraih gelaran kesembilan liga.

Spekulasi tercetus sejak beberapa bulan lalu mengenai perpindahan Ronaldo selepas hubungan dingin antara bintang Portugal itu dengan jurulatih, Maurizio Sarri.

Tetapi sebaliknya Ronaldo memberi bayangan hasratnya untuk terus kekal pada musim 2020-21.

Ronaldo: "Terus buru kejayaan ketiga saya"

Dalam Instagramnya selepas Juve menjulang trofi Serie A, Ronaldo berkata: "Sangat gembira menjuarai dua gelaran terakhir Serie A daripada sembilan berturut-turut Juventus!

"Nampak mudah tetapi tidak! Dari setahun ke setahun, bersama bakat, dedikasi dan kerja keras, anda mampu mencapai sasaran dan menjadi lebih baik daripada sebelumya. Teruskan buruan untuk yang ketiga saya."

Juve masih berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan 24 tahun Liga Juara-Juara musim ini. Juara Eropah dua kali itu kali terakhir menjulang trofi pada musim 1995-96.

Skuad Old Lady ketinggalan defisit 0-1 kepada Lyon dalam aksi peringkat kedua pusingan 16 tetapi dijangka mampu mengatasinya di Turin pada Sabtu ini.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 10:47pm
d