arena

Super KIP ketepi tekanan

Oleh Saiful Affendy Sapran

BIARPUN berdepan tekanan tinggi ketika ini namun pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi tetap bersemangat untuk meraih keputusan terbaik pada Grand Prix Republik Czech hujung minggu ini.

Khairul atau lebih dikenali dengan gelaran Super KIP setakat ini masih gagal mengutip sebarang mata selepas tiga pusingan perlumbaan dan hanya mampu menamatkan saingan di kelompok belakang berbanding rakan sepasukan, John McPhee yang sudah dua kali melangkah ke podium.

Malah prinsipal pasukan Petronas Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali sudah memberi amaran kepadanya namun Khairul jelas tidak mahu semua itu mengganggu tumpuannya minggu ini.

"Brno adalah litar yang sukar kerana terdapat selekoh yang laju dan ia agak teknikal.

"Saya mempunyai memori manis di sini pada 2016 ketika bersaing sengit dengan McPhee untuk kedudukan podium.

"Saya menggemari litar ini. Tapi bukan mudah untuk mendapatkan catatan sepusingan terbaik.

"Anda perlu fokus untuk memastikan dapat meraih catatan terbaik di setiap sektor dan kemudian cuba meraih catatan paling pantas di setiap pusingan," katanya.

Khairul berkata, dia hanya mahu memastikan dapat meraih keputusan lebih baik pada kali ini selepas tiga keputusan mengecewakan.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 3:27pm
d