arena

Perangai macam 'setan' tapi hebat

Oleh AFP

WEI Shihao dituduh mempunyai sifat jahat dan digantung tahun lalu selepas mematahkan kaki pemain lawan namun permulaan cemerlang pada awal musim ini bermakna dia mampu menjadi pemain China yang seterusnya dieksport ke Eropah.

China mempunyai populasi 1.4 bilion namun hampir tidak mempunyai bakat hebat dalam bola sepak dengan Wu Lei adalah pemain terbaik setakat ini.

Dia berhijrah ke Espanyol tahun lalu namun kelab berkenaan tersingkir dari La Liga.

Bagaimanapun, empat dalam tiga aksi pembukaan Liga Super China bersama juara bertahan, Guangzhou Evergrande membolehkan Wei berkongsi kedudukan penjaring terbanyak dan menimbulkan kembali desas-desus dia akan kembali beraksi di luar negara.

Wei hanya memerlukan tujuh minit untuk melonjakkan namanya selepas melakukan di sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan dengan kaki kanan bagi membantu kelabnya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Shanghai Shenhua.

Wei yang menjaringkan gol kedua hasil tampanan mudah dikeluarkan oleh jurulatih Evergrande, Fabio Cannavaro pada minit ke-69, namun pemain berjersi nombor tujuh itu mempersoalkan kenapa dia dikeluarkan sebelum legenda Itali itu menyepaknya secara bergurau.

"Saya sudah mengkritik dan menguruskannya, semuanya adalah untuk membuatkan dia menjadi lebih bagus. Dia masih lagi muda dan sesetengah perangainya di dalam padang tidak boleh diterima," kata Cannavaro.

Karier Wei sangat pelik kerana dia sudah ke Eropah ketika remaja, dengan menyertai Boavista di Portugal pada 2013.

Dia menghabiskan masa selama tiga tahun di Portuhal sebelum kembali ke China bersama SIPG. Dia selepas itu ke Beijing Guoan, sebelum menyertai Evergrande pada 2019.

Media China dan Sepanyol sebelum ini melaporkan Wei akan berhijrah sekali lagi Eropah awal tahun ini, dengan dikaitkan pasukan yang dimiliki syarikat China di La Liga, Granada namun ia tidak berlaku disebabkan Covid-19.

Pemain yang pernah mengenakan fesyen rambut pintal berwarna putih ini berjaya membuktikan kehebatan mengatasi rakan sepasukan yang bertaraf bintang Paulinho.

Dia pernah beraksi sebanyak 14 kali bersama China dengan menjaringkan dua gol dan sumbangan paling diingati ialah mematahkan kaki lawan dalam rempuhan keras ketika tewas 0-1 kepada Uzbekistan.

Penyerang yang mempunyai tatu di bahagian lengan itu hanya menerima kad kuning dalam insiden berkenaan dan selepas itu digantung selama sebulan oleh Evergrande.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 5:42pm
d