arena

Talian hayat kedua Faizal, Fitri

Oleh Saiful Affendy Sapran

PELUANG kembali terbuka kepada pasangan adik beradik, Faizal dan Fitri Saari untuk dipanggil semula menyertai skuad hoki kebangsaan selepas diketepikan ketika era Roelant Oltmans.

Bagaimanapun ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj yang baru menggantikan Oltmans berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada penolong jurulatih, Muhamad Amin Rahim berhubung situasi sebenar kedua-dua pemain itu.

"Saya perlu tahu apakah sebabnya pengguguran Faizal dan Fitri terlebih dahulu. Sebab saya pun sudah enam tahun tidak berada dalam skuad negara.

"Sekiranya ada sebab yang kukuh seperti masalah disiplin, maka saya pun tak boleh nak bantu mereka. Tapi sepanjang pengalaman saya bersama dengan kedua-dua pemain ini bermula 2012 hingga 2014, mereka tidak mempunyai rekod masalah disiplin.

"Namun selepas tempoh itu, saya tidak tahu apa yang berlaku. Setiap keputusan pasti ada sebabnya dan untuk itu saya perlu dapatkan penjelasan daripada Amin dahulu kerana dia lebih tahu apa yang berlaku dalam pasukan," katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun akan melihat prestasi Faizal dan Fitri pada saingan Piala Tun Abdul Razak yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 26 September depan sebelum membuat keputusan untuk menyenaraikan kembali mereka berdua di dalam skuad kebangsaan.

"Saya yakin mereka berdua masih mempunyai semangat tinggi untuk mewakili negara. Jadi saya harap mereka gunakan peluang ini sebaik-baiknya," katanya.

Sementara itu, Arul yang berterima kasih kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kerana kembali memberi kepercayaan kepadanya selepas kali terakhir membimbing skuad negara pada 2014 berkata, beliau akan menggunakan pendekatan 'ala Eropah' untuk memberikan suntikan baharu ke dalam skuad kebangsaan.

"Saya mahu pemain serius ketika menjalani latihan tetapi ketika di luar, kami boleh bergaul seperti biasa. Saya mahukan suasana hubungan rapat antara saya dan pemain," kata bekas pengendali Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu yang mempunyai pengalaman luas di luar negara.

Arul yang ketika ini berada di Dublin, Ireland bersama keluarganya, akan kembali ke Malaysia Isnin ini dan perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebelum turun kali pertama membimbing pasukan negara.

Oltmans meletak jawatan selepas 22 bulan membimbing skuad negara dengan alasan pandemik Covid-19 menjejaskan perancangannya.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 8:40pm
d