arena

Wawrinka tarik diri Terbuka AS

Oleh AFP

BEKAS juara, Stan Wawrinka mengesahkan tidak akan beraksi di Terbuka Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan terhadap situasi kesihatan di New York sekali gus memberi satu lagi tamparan kepada saingan Grand Slam itu.

Wawrinka, pemenang Terbuka AS 2016, sudah tiada di dalam senarai peserta bersama-sama pemenang empat kali, Rafael Nadal.

Kini pemain berusia 35 tahun itu akan memberi tumpuan kepada saingan Roland Garros yang menyaksikannya meraih kejuaraan utama kedua pada 2015.

"Ia berkaitan situasi kesihatan terutamanya di New York. Saya tidak mahu pergi ke AS dalam situasi seperti ketika ini," kata pemain nombor 17 dunia itu yang juga pemenang Terbuka Australia 2014 kepada RTS Switzerland.

Pemain yang beraksi di Terbuka AS bermula 31 Ogos depan, akan berdepan pemeriksaan kesihatan yang ketat untuk menangani pandemik Covid-19.

Ia juga akan dilangsungkan secara tertutup.

"Kejohanan yang akan berlangsung selepas Terbuka AS juga akan berdepan situasi sukar," kata Wawrinka merujuk kepada Terbuka Itali yang akan bermula seminggu selepas berakhirnya Terbuka AS.

Roland Garros yang ditangguhkan dari Mei dan Jun lalu, akan bermula di Paris pada 27 September.

"Akhirnya, kesemua ketidakpastian berkait dengan isu kuarantin. Masih banyak persoalan dan keraguan berhubung penganjuran Terbuka AS," katanya lagi.

Disiarkan pada: August 8, 2020 @ 11:04am
d